Tapak bazar Masjid India terbakar akan dijadikan laluan pejalan kaki

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penerima pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur di Dewan Perdana Mestika Institut Latihan DBKL hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penerima pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur di Dewan Perdana Mestika Institut Latihan DBKL hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menjadikan tapak bazar Masjid India yang terbakar pada Selasa lepas, sebagai laluan pejalan kaki.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, hal ini kerana tapak itu adalah sebahagian daripada projek River Of Life (RoL) yang pada asalnya akan dibuka kepada orang ramai untuk dijadikan 'pedestrian mall'

"Bagi jangka panjang memang dalam projek RoL kami akan kosongkan kawasan itu. Peniaga Wisma Yakin pun sudah lama meminta DBKL berbuat demikian kerana struktur bazar itu telah menghalang bangunan dan menjejaskan perniagaan mereka.

"Jadi struktur bazar Masjid India yang terbakar itu akan dirobohkan sepenuhnya selepas ini kerana ia tidak selamat kepada mana-mana pihak untuk terus menjalankan perniagaan," katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur 2019 di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.35 pagi Selasa lepas, kira-kira 30 gerai jualan di bazar berkenaan yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, tudung, beg dan kasut terbakar.

Khalid berkata, peniaga yang terjejas akibat kebakaran itu tidak perlu risau memandangkan DBKL akan memindahkan mereka ke kawasan baharu.

"Cadangan awal DBKL adalah untuk memindahkan mereka ke Lanai Seni iaitu tapak di sebelah Collesium, Jalan Tuanku Abdul Rahman, tidak jauh daripada tapak sedia ada dan kami sudah buka tender serta dijangka siap pada tahun hadapan," katanya.

Terdahulu, Khalid menyampaikan sumbangan kepada 26 peniaga yang terlibat dalam kebakaran itu yang berjumlah RM98,000, dengan setiap seorang diberikan antara RM3,000 dan RM5,000 bergantung kepada jumlah kerugian mereka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, 500 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin turut menerima sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM150 setiap seorang, melibatkan peruntukan sebanyak RM75,000. - Bernama