X

Kindly register in order to view this article
!

Tindakan MBSA tunda kenderaan punyai kompaun tertunggak tidak sah

mahkamah
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam mengisytiharkan bahawa tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menunda kenderaan yang mempunyai kompaun tertunggak adalah tidak sah dan ultra vires.

Hakim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan sedemikian dan membenarkan perintah-perintah deklarasi, certiorari, dan ganti rugi serta kos kepada bekas peguam, Nurliza Shafien.

Peguam, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif memberitahu Sinar Harian, mahkamah turut memerintahkan pembayaran kompaun yang telah dibuat tanpa rela oleh anak guamnya, Nurliza selaku pemohon, dipulangkan kembali.

"Ini kerana tindakan MBSA menerima pembayaran tersebut adalah salah, unjust enrichment dan bertentangan dengan kuasa-kuasa statutori responden," katanya.

Menurutnya, keputusan tersebut memberi kesan bahawa sebarang tindakan tundaan MBSA yang dibuat atas alasan terdapat tunggakan kompaun adalah ultra vires dan melanggar kuasa statutori MBSA.

"Keputusan hari ini adalah berita baik kepada orang awam dan merupakan semak dan imbang terhadap tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak melangkaui bidang kuasanya.

"Keputusan ini juga memberi kesan kepada orang ramai yang terpaksa membayar kesemua tunggakan kompaun MBSA tanpa dibicarakan bagi mengelakkan kenderaan mereka ditunda sewenangnya," katanya.

Selain Kamaruzaman, Nurliza turut diwakili peguam, Sofiah Omar.

Pada 5 Julai 2016, Nurliza memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan MBSA yang dinamakan sebagai responden setelah PBT itu menyampaikan notis tunda terhadapnya.

Notis itu yang diletakkan di cermin keretanya memaklumkan bahawa pemohon mempunyai 50 kompaun tertunggak dan dikehendaki menjelaskannya dalam tempoh 48 jam.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, kenderaan itu akan ditunda.

Dalam notis permohonannya, Nurliza memohon deklarasi antaranya bahawa tindakan penundaan keretanya di dalam petak pakir di Jalan Ragbi 13/30, Seksyen 13, dekat sini pada 11 April 2016 oleh responden atau wakil adalah suatu pencerobohan harta dan melanggar hak-hak pemohon di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan serta ultra vires dan bertentangan dengan kuasa-kuasa responden di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Majlis Bandaraya Shah Alam 2007.

Beliau turut mendakwa tindakan MBSA menerima menerima pembayaran pemohon dengan bantahan dan tanpa rela hati sebanyak RM2,506 yang dibayar pada 12 April 2016 adalah salah, unjust enrichment dan bertentangan dengan kuasa-kuasa statutori agensi itu.

Justeru, beliau memohon ganti rugi keseluruhan RM100,000 bagi kehilangan penggunaan kenderaan pada 11 dan 12 April 2016, kesusahan yang dialaminya termasuk tertekan, malu dan kecewa dan merosakkan reputasinya sebagai peguam serta terpaksa berulang-alik dari rumah ke pejabat, ke mahkamah, ke MBSA, depoh tunda dan sebagainya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!