Beri rakyat Palestin biasiswa, pembangkang tidak puas hati

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong. - Foto mca.org.my
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong. - Foto mca.org.my
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Pengumuman kerajaan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari Palestin meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD di 12 universiti ternama di Malaysia telah menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin parti pembangkang dan netizen.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga keperluan semua kaum di negara kita dan bukan hanya mengambil berat kaum Cina atau bukan Bumiputera ketika pilihan raya umum.

Beliau mendakwa, Kerajaan PH hanya tahu meminta sokongan kaum Cina dan membayar cukai, tetapi atas dasar pendidikan, kaum itu terasa dipinggirkan.

“Contohnya pemberian biasiswa kepada pelajar Palestin. Pelajar bukan Bumiputera pula tertekan di bawah pemerintahan PH.

"Sebelum ini PH telah menghentikan bantuan sebanyak RM60 juta kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman; kemudian diikuti isu matrikulasi yang mengurangkan peluang pelajar STPM ke peringkat universiti.

“PH sentiasa mengeluh negara dibebani hutang yang banyak dan negara bakal bankrap, tetapi kini ada pula wang untuk memberi biasiswa kepada pelajar Palestin," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk menawarkan biasiswa buat pelajar-pelajar dari Palestin meneruskan pengajian mereka di peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD di 12 universiti ternama di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tawar biasiswa kepada pelajar Palestin

Artikel Berkaitan:

Biasiswa yang bernilai RM11.48 juta itu akan ditawarkan menerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan merupakan inisiatif Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Antara 12 universiti terlibat ialah Albukhary International University, Mahsa University, Kolej Universiti Islam Perlis, Multimedia University, UCSI University, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Sunway University, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia.

Sementara itu, menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tawaran biasiswa untuk rakyat Palestin itu merupakan langkah belas kasihan yang akan meningkatkan kepentingan jangka panjang Malaysia dengan negara itu.