Korea Selatan perlu kepakaran Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SEOUL - Korea Selatan memerlukan kepakaran Malaysia selain akreditasi bagi perkhidmatan hospitaliti mesranya untuk memperkukuh sektor itu yang menyaksikan kehadiran sejuta pelancong Muslim pada 2016, peningkatan 33 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Korea Institute of Halal Industry (KIHI).

Ketua Pengarahnya, Dr James Noh berkata ketika ini sektor tersebut dikendalikan oleh Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO), agensi kerajaan yang memantau industri pelancongan di Korea Selatan.

“Namun, saya berpendapat kita memerlukan akreditasi Malaysia memandangkan ia diiktiraf di seluruh dunia (dari segi industri halal),” katanya kepada Bernama di luar program Seoul Food 2019 selama empat hari, di sini mulai semalam.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan KIHI, dengan kedua-dua pihak akan berkongsi pengetahuan dan kepakaran untuk membangunkan hospitaliti mesra Muslim dan industri halal di Korea Selatan.

Noh juga mengakui bahawa destinasi mesra Muslim di Korea Selatan telah mewujudkan banyak restoran halal di seluruh negara itu.

Setakat ini terdapat 130 restoran mesra Muslim termasuk 14 daripadanya memiliki pensijilan halal dan satu ski resort mesra Muslim bagi memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan pelancong Muslim.

Dalam perkembangan berasingan, James sedia maklum mengenai hasrat KIHI untuk membawa syarikat kosmetik Korea Selatan ke Malaysia.

“Mereka boleh membina makmal atau pusat penyelidikan dan pembangunan di Malaysia dan bersama-sama syarikat kosmetik di Malaysia untuk menembusi pasaran negara ASEAN dan negara Islam lain,” katanya dan menurutnya, KIHI juga berharap untuk melabur di taman industri halal Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Presiden HDC Hanisofian Alias berkata walaupun Malaysia mempunyai ramai penggiat industri kosmetik halal, mereka lemah dari segi teknologi.

“Pada kebiasaannya mereka menyalurkan proses itu dengan bekerjasama bersama-sama pakar dari Korea Selatan untuk menghasilkan produk lebih baik dan diterima di peringkat global.

“Ketika ini kami bekerjasama dengan beberapa penggiat industri domestik untuk melihat jika mereka berminat,” katanya.

Menurut HDC, syarikat kosmetik di Korea Selatan mula memberikan perhatian terhadap pasaran halal yang menguntungkan dan sedang menjalankan lebih banyak kajian dan prosedur ujian pensijilan halal untuk memperluas perniagaan di masa depan.

Susulan pemeteraian MoU tersebut, Hanisofian menyampaikan ceramah selama 30 berminit bertajuk Akses Berkesan Terhadap Perniagaan Halal yang menyaksikan penyertaan 100 syarikat tempatan.- Bernama