Samun: Warga asing cedera, muka ditoreh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan sahaja disamun, tiga pekerja pembersihan berdepan detik hitam apabila seorang daripada mereka cedera parah ditoreh dengan senjata tajam oleh dua lelaki kelmarin.

Kejadian dilapor berlaku ketika kesemua mangsa yang merupakan warga asing memotong rumput berhampiran bulatan Persiaran Tun Teja Seksyen 35, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa memberitahu mereka didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

Katanya, pada mulanya kedua-dua suspek mengambil telefon bimbit milik seorang daripada mangsa.

"Tidak lama kemudian, kedua-dua suspek datang kembali dan cuba mengambil barang lain milik mangsa namun berlaku pergelutan.

"Ketika bergelut, seorang daripada mangsa ditoreh di bahagian muka dengan senjata tajam digunakan suspek," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek berjaya 'dipegang' oleh rakan mangsa selama beberapa minit namun akhirnya dapat melepaskan diri.

Jelasnya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa cedera parah di bahagian muka dan kini masih mendapat rawatan lanjut di hospital," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.