Penantian 8 tahun berakhir

Dr Sahruddin (lima dari kiri) menyerahkan replika cek peruntukan membina surau SK LKTP Bukit Ramun kepada Md Noh ketika hadir Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid Felda Bukit Ramun kelmarin.
Dr Sahruddin (lima dari kiri) menyerahkan replika cek peruntukan membina surau SK LKTP Bukit Ramun kepada Md Noh ketika hadir Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid Felda Bukit Ramun kelmarin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Bukit Ramun di sini tidak perlu lagi menggunakan bilik darjah sebagai ruang solat apabila kerajaan negeri meluluskan RM200,000 bagi pembinaan surau sekolah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Md Noh A Hamid berkata, peruntukan untuk pembinaan surau itu telah dimohon sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, PIBG dan sekolah menghargai keprihatianna Menteri Besa, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang telah meluluskan segera peruntukan tersebut selepas permohonan dihantar pada April lalu.

"Buat sementara ini bilik darjah kami jadikan surau, dan sememangnya tidak dapat tampung warga sekolah ini terutamanya bila ada aktiviti yang melibatkan ramai pelajar.

"Surau sedia ada sebelum ini pula boleh muatkan 50 hingga 80 orang sahaja dalam satu-satu masa. Berbanding perancangan bagi surau baru ini dijangka boleh muatkan sehingga 200 pelajar dalam satu masa," katanya kepada Sinar Harian.

Md Noh berkata, sebelum ini aktiviti seperti solat hajat perdana, yasin perdana, tadarus dan lain-lain aktiviti keagamaan terpaksa dilakukan di dewan sekolah.

Jelasnya, surau yang bakal dibina dalam jangka masa terdekat itu sekali gus menamatkan penantian pihak sekolah sejak lapan tahun lalu.

Terdahulu, penyerahan peruntukan itu disempurnakan Sahruddin ketika hadir Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid Felda Bukit Ramun, kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sahruddin berkata, kerajaan menitik beratkan pembangunan akidah Islam yang bermula di peringkat sekolah.

Katanya, projek pembinaan surau yang dijangka mula dilaksana selepas Aidilfitri itu diserahkan sepenuhnya kepada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ).