Pesara guru reda rumah terbakar depan mata

Keadaan rumah Adibah Hanim ketika kebakaran berlaku
Keadaan rumah Adibah Hanim ketika kebakaran berlaku
A
A
A

IPOH - "Walaupun rumah terbakar, tetapi saya tetap reda,"

Itu reaksi pesara guru, Adibah Hanim Mohamad Shith 61, ketika mengulas berhubung kebakaran rumah kediamannya awal pagi tadi.

Adibah Amin
Adibah Amin

Adibah berkata, dalam kebakaran berkenaan 98 peratus rumahnya itu musnah berikutan api yang merebak terlalu cepat.

Malah menurut ibu kepada empat anak ini, biarpun hampir tidak ada barangan serta perkakas yang dapat diselamatkan, dia tetap reda dengan insiden kebakaran berkenaan.

"Masa tu dah jam 3 pagi dan saya baru balik dari Mesir kerana melawat anak bongsu saya yang belajar di sana. Dua bulan saya ke sana.

"Ketika mahu menunaikan solat terawih saya menekan suis aircond (penyaman udara) dan tiba-tiba aircond itu meletup serta mengeluarkan api dan selepas itu api mulai marak dengan asap hitam.

"Saya buka pintu dan berlari keluar, mujurlah jiran-jiran terdekat dengan pantas datang membantu, tetapi tidak ada sesiapa yang berani masuk ke dalam rumah kerana asap tebal," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Adibah Hanim isteri kepada penulis terkemuka, Allahyarham Raja Sabaradin Raja Abdullah itu hanya tinggal bersendirian di rumah berkenaan setelah kesemua anak-anaknya bekerja di Kuala Lumpur.

Mengimbas detik hitam itu, Adibah berkata, semuanya berlaku dengan pantas dan tidak dapat menyelamatkan banyak barangan berharga.

"Sehingga kini, saya tidak dapat membuat anggaran mengenai jumlah sebenar kerugian yang berlaku dalam kebakaran berkenaan.

"Buat masa ini, saya menumpang di rumah adik buat sementara. Apa juga perancangannya, saya tak dapat fikirkannya sekarang," katanya.

Dalam pada itu, anak sulung Adibah Hanim Raja Fauzi Rizal, 42 berkata insiden kebakaran itu sememangnya tidak dijangka.

Keadaan rumah yang musnah 98 peratus dalam kebakaran berkenaan.
Keadaan rumah yang musnah 98 peratus dalam kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dirinya serta adik beradik yang lain reda dengan kebakaran berkenaan.

"Raya kali ini akan disambut sederhana, dah tak ada apa dah. Cuma yang pasti, kami adik-beradik semua akan beraya di sini kali ini.

"Sekurang-kurangnya kami akan berkumpul bersama di hari raya. Terubat jugalah rasa rindu mak," katanya.

Pendapat itu dipersetujui anak ketiga, Raja Muhammad Jauhari 35, di sebalik kesedihan akibat kebakaran itu dia tetap bersyukur kerana ibunya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sebaik menerima panggilan daripada ibu saya yang memaklumkan mengenai kebakaran berkenaan, saya tahu ibu saya selamat.

"Itulah perkara yang paling melegakan apabila mengetahui ibu saya selamat dalam kebakaran yang berlaku," katanya.

Sementara itu ADUN Manjoi Asmuni Awi berkata kebakaran berkenaan disyaki berpunca daripada litar pintas akibat kebocoran wayar pada penyaman udara di salah satu bilik.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sebanyak RM2,000 daripada Tabung Bencana Alam bagi membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung.

"Setakat saya melawat 9.45 pagi tadi, tempat kejadian menjadi kawasan terhad kerana pihak forensik Bomba masih belum menjalankan siasatan untuk menentukan punca sebenar kebakaran.

"Pihak JKM juga telah dihubungi untuk melihat aspek bantuan dan kebajikan kepada mangsa.

"Saya secara peribadi turut memberikan sumbangan peribadi RM1,000 kepada mangsa untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung," katanya.