Lelaki OKU rentung dalam kebakaran rumah

Anggota Bomba dan Penyelamat membuat 'overhaul' bagi memastikan kebakaran di sebuah rumah padam sepenuhnya.
Anggota Bomba dan Penyelamat membuat 'overhaul' bagi memastikan kebakaran di sebuah rumah padam sepenuhnya.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut, manakala abangnya terselamat dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Taman Desa Country Homes di sini pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa dikenali Shia Cheng Guan, 56, ditemukan rentung selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Wan Md Razali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.28 pagi.

"Seramai 11 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah rumah teres tersebut dan kebakaran telah dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

"Kita telah membuat 'overhaul' bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya, seorang lelaki ditemukan rentung di dalam bilik," katanya.

Wan Md Razali berkata, semasa kejadian mangsa tinggal dengan abangnya berusia 65 tahun di rumah tersebut.

"Abang mangsa tidak mengalami kecederaan," katanya.