Isu bazar Ramadan Desa Pandan dianggap selesai

Pihak PPPKMWP sepakat memberi kerjasama untuk menyelesaikan isu dibangkitkan.
Pihak PPPKMWP sepakat memberi kerjasama untuk menyelesaikan isu dibangkitkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) yang mengelola sebahagian operasi bazar Ramadan Desa Pandan, di sini bersetuju membuka laluan ke kanopi yang menempatkan peniaga-peniaga bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bazar sama.

Tindakan itu sekaligus disifatkan sebagai penyelesaian kepada isu yang dibangkitkan peniaga-peniaga di bawah kanopi berkenaan yang mendakwa menanggung kerugian akibat kehadiran bazar diuruskan persatuan itu.

Yang Dipertua PPPKMWP, Datuk Mohamad Abdullah, berkata operasi bazar yang diuruskan pihaknya merupakan tapak tradisi sejak lebih 10 tahun lalu dan DBKL telah membenarkan ia beroperasi secara sah tahun ini walaupun pada awalnya diputuskan semua bazar Ramadan akan diuruskan DBKL.

Menurutnya, kesemua 100 peniaga daripada 267 petak disediakan DBKL adalah peniaga-peniaga sedia ada sejak operasi bazar Ramadan di situ diwujudkan justeru tidak wujud isu mereka mengambil hak peniaga lain.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak terlibat dan saya anggap perkara ini boleh diselesaikan. Kita akan buka laluan.

“Bagaimanapun untuk tahun akan datang, perkara ini perlu dibincangkan bersama semua pihak untuk menjadikan operasi bazar di sini lebih baik. Untuk tahun ini, apa yang ada perlu diteruskan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua PPPKMWP Cawangan Kampung Pandan, Mohd Sharif Hashim berkata, tidak timbul isu pihak persatuan memberi rasuah kepada DBKL untuk menjalankan operasi bazar di situ kerana kelulusan telah diberikan dua hari sebelum Ramadan.

“Memberi rasuah adalah tuduhan yang melampau. Bagaimanapun perkara ini telah dibincangkan dengan pihak pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Harun sebagai orang tengah dan kerjasama akan dilakukan bersama pihak peniaga satu lagi untuk kebaikan bersama,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini kira-kira 80 peniaga yang mendaftar secara dalam talian untuk beroperasi di lokasi baru terletak bersebelahan dengan tapak bazar berkenaan (tapak lama) mendakwa berdepan kerugian ekoran kehadiran bazar yang diuruskan PPPKMWP.

Tindakan DBKL yang membenarkan kewujudan operasi bazar berkenaan pada saat-saat akhir juga disifatkan sebagai satu pengkhianat terhadap mereka kerana ketika pendaftaran tapak baharu itu dibuka kepada umum, dimaklumkan tiada operasi bazar di tapak lama kerana menghalang laluan utama.