Pengunjung meningkat di bazar Ramadan, peniaga untung - Kajian

Salahuddin ketika sidang akhbar di Lobi Parlimen pada Selasa.
Salahuddin ketika sidang akhbar di Lobi Parlimen pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kaji selidik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati 69 peratus daripada 1,148 peniaga bazar Ramadan menyatakan peningkatan pelanggan ke premis mereka.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia membabitkan bazar Ramadan di kawasan bandar, luar bandar dan bazar Ramadan peringkat negeri.

Beliau berkata, ia berdasarkan kaji selidik dijalankan pada 31 Mac lalu membabitkan responden berkenaan dilakukan bagi mendapatkan maklum balas peniaga berhubung sambutan pengguna terhadap aktiviti jualan di bazar Ramadan pada tahun ini.

"Kaji selidik ini juga bertujuan menilai sambutan pengguna terhadap bazar Ramadan dan melihat aspek keuntungan diperoleh peniaga, selain mengumpulkan maklumat berhubung hasil jualan diperoleh berbanding sasaran jualan oleh peniaga itu sendiri.

"Manakala 31 peratus peniaga memberi maklum balas penurunan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Salahuddin berkata, bagi aspek hasil jualan pula, sebanyak 63 peratus peniaga menyatakan peningkatan hasil jualan, manakala selebihnya 37 peratus memberikan maklum balas sebaliknya.

"Selain itu, dari aspek keuntungan pula, 70 peratus peniaga mengakui mendapat peningkatan keuntungan, manakala baki 30 peratus lagi menyatakan pengurangan dari segi keuntungan," katanya.

Beliau berkata, nilai jualan dan keuntungan yang diperoleh peniaga banyak dipengaruhi faktor termasuk jenis makanan atau minuman popular, harga berpatutan, cuaca, lokasi bazar dan kemudahan parkir serta sewa tapak.

Katanya, hasil kaji selidik ini juga mendapati, peniaga mengharapkan pengunjung semakin bertambah dan berbelanja di bazar Ramadan, selain kos bahan mentah dapat diturunkan bagi membantu mengimbangi harga jualan mereka.

"Selain itu, peniaga juga berharap promosi lebih baik dapat dilakukan supaya pengunjung bazar Ramadan semakin meningkat, selain pengurangan kadar sewa tapak, meningkatkan aktiviti penguatkuasaan, kebersihan tapak perniagaan bazar dan bantuan dari segi modal atau kewangan," katanya.

Jelasnya, peniaga dinasihatkan terus mematuhi peraturan dan perundangan dikuatkuasakan KPDN bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

"Jadilah peniaga yang beretika seperti meletakkan tanda harga pada setiap barangan dijual dengan tepat dan jelas.

"Pengguna juga dinasihatkan bijak berbelanja dan menggunakan sepenuhnya hak mereka bagi mengelak dimanipulasi segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan, selain berhemah di dalam berbelanja supaya tidak berlaku pembaziran," katanya.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh melaporkannya melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800; e-mel (e-aduan@kpdn.gov.my); Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN dan Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.