Lima ditahan kes pukul, samun peniaga bazar Ramadan

Polis menahan lima lelaki pada Rabu kerana terlibat dalam kejadian samun seorang peniaga Bazar Ramadan di Jalan Merbau, Bandar Putra, Kulai.
Polis menahan lima lelaki pada Rabu kerana terlibat dalam kejadian samun seorang peniaga Bazar Ramadan di Jalan Merbau, Bandar Putra, Kulai.
A
A
A

KULAI - Seorang peniaga cedera selepas diserang sekumpulan lelaki tidak dikenali termasuk dipukul dengan kayu dalam kejadian samun di Bazar Ramadan Jalan Merbau, Bandar Putra di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, mangsa yang berusia 41 tahun itu mengalami cedera di kepala, lebam di bahagian muka dan tangan kiri serta sakit bahagian badan.

Beliau berkata, pihak polis mengetahui kejadian tersebut yang berlaku pada jam 10.45 malam Selasa, selepas mangsa membuat laporan pada jam 12.28 tengah hari Rabu.

"Mangsa yang juga peniaga bazar itu memberitahu semasa berniaga bersama tiga rakannya di tapak berniaga Bazar Ramadan tersebut telah didatangi suspek bersama rakan-rakannya.

"Sebelum itu suspek dan mangsa berbincang berkenaan perniagaan mercun di tapak bazar tersebut. Secara tiba-tiba salah seorang dari suspek yang tidak dikenali bertindak menendang pengadu di bahagian dada hingga terjatuh.

"Pengadu kemudian diserang dengan senjata dipercayai sebatang kayu dan dipukul oleh beberapa orang semasa hendak menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut Beng Yeow, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk menerima rawatan.

Katanya, mangsa mengalami kehilangan wang berjumlah RM5,405 yang dipercayai dirampas suspek semasa kejadian berkenaan.

Susulan itu katanya, pihak polis menahan lima suspek berkenaan selepas melakukan empat serbuan di sekitar Taman Sentosa, Bandar Putra Kulai dan Jalan Persiaran Indahpura di sini pada Rabu.

Tangkapan ke atas suspek yang berusia 18 hingga 47 tahun itu katanya, dibuat antara jam 1.30 petang hingga 10.30 malam.

Menurutnya, polis berjaya menyelesaikan kes tidak sampai 24 jam selepas laporan polis dibuat dan sebatang kayu yang dijadikan senjata dan sehelai baju turut dirampas.

"Hasil siasatan awal, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat. Motif kejadian dipercayai perselisihan faham," ujar beliau.

Siasatan lanjut katanya, masih dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas, hasil semakan terhadap lima suspek yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek ujarnya, direman selama empat hari sehingga 9 April ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.