Dua penagih dadah samun warga asing dicekup

Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Dua rakan penagih dadah ditahan tidak sampai 24 jam selepas menyamun dua lelaki warga Nepal di Jalan Ban Pakat, Tali Air 5 Sekinchan di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kejadian jam 8 malam Jumaat lalu itu berlaku ketika mangsa bersama rakannya selepas membeli makanan di Pekan Sekinchan.

Menurutnya, kedua mangsa berusia 25 tahun yang mengayuh basikal dalam perjalanan pulang ke asrama pekerja di sebuah bengkel besi di Sekinchan sebelum didatangi sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik 120 dinaiki dua suspek.

"Suspek menahan kedua mangsa dan seorang suspek berusia 17 tahun yang tidak lagi bersekolah bertindak turun daripada motosikal dan memeriksa poket selain menyuruh mangsa mengeluarkan barang yang berada dalam simpanan.

"Seorang suspek berusia 20 tahun pula mengacu pisau pemotong daging ke arah kedua mangsa yang berada dalam ketakutan dan terus menyerahkan beg dompet mengandungi beberapa dokumen peribadi dan wang tunai RM60," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Chee Khoon berkata, bertindak atas maklumat katanya, polis berjaya menjejaki dua suspek di Jalan Bagan Sungai Labu di sini, pada jam 2.30 petang, kelmarin.

"Kita merampas beberapa barangan termasuk motosikal yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu selain pisau dan dokumen peribadi milik mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki tiga rekod lampau jenayah dan narkotik dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga 25 Mei ini untuk disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya,