Lapor jika ada dakwaan salah laku hakim

Tengku Maimun menyampaikan ucapan pada Majlis Meraikan Ketua Hakim di Istana Kehakiman hari ini. - Foto Bernama
Tengku Maimun menyampaikan ucapan pada Majlis Meraikan Ketua Hakim di Istana Kehakiman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan salah laku hakim perlu melaporkan kepadanya atau pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata, bagi melindungi integriti kehakiman, tindakan wajar akan diambil terhadap pihak yang mencemarkan imej dan martabat kehakiman.

"Sekiranya terdapat dakwaan salah laku di pihak hakim, saya menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai sebarang tuduhan sedemikian untuk membuat laporan dengan pihak berkuasa berkaitan supaya siasatan yang sewajarnya dapat dijalankan.

"Orang ramai juga boleh menulis kepada saya, Presiden Mahkamah Rayuan atau kepada Ketua Hakim di dua Mahkamah Tinggi supaya kita dapat melaksanakan perkara yang perlu dilakukan," katanya ketika menyampaikan ucapan sulungnya selaku Ketua Hakim Negara ketika istiadat menyambut pelantikannya di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Katanya, mahkamah menghormati hak orang ramai untuk mengkritik prestasi hakim tetapi teguran perlu berdasarkan fakta dan dibuat dengan penuh tanggungjawab.

Namun beliau menegaskan, sebarang kritikan tidak berasas kepada badan kehakiman akan hanya melemahkan institusi berkenaan selain menghilangkan keyakinan masyarakat.

"Ia merupakan suatu penganiayaan terhadap kehakiman dan negara secara keseluruhan jika seseorang terus melemparkan tuduhan liar, khususnya di media sosial tanpa mengambil jalan (menyuarakannya) melalui saluran yang sewajarnya bagi dakwaan itu untuk ditangani secara berkesan," katanya.

Tengku Maimun yang mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara itu turut menyatakan komitmen beliau untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan institusi kehakiman sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tengku Maimun sebak ketika memetik maksud dua potong ayat al-Quran daripada surah an-Nisa yang akan dijadikannya sebagai panduan ketika menerajui badan tertinggi perundangan negara itu.

Beliau memetik terjemahan ayat 58 dan 135 ketika berucap dalam majlis meraikan pelantikannya itu.

Kedua-dua ayat itu mengenai perintah ALLAH supaya menjalankan hukuman dengan adil sesama manusia, sentiasa menegakkan keadilan hatta terhadap diri sendiri, ibu bapa dan kaum kerabat serta bercakap benar ketika menjadi saksi.

“Dalam melaksanakan tugas, saya akan sentiasa berpegang kepada mesej daripada surah an-Nisa ayat 58 dan ayat 135,” katanya sambil menahan sebak.