Skuad hoki harap tak kena singkir

Mirnawan. - Foto Bernama
Mirnawan. - Foto Bernama
A
A
A

DALAM misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, skuad hoki lelaki negara berharap terus kekal berada dalam program Road to Gold (RTG).

Pengurus negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, skuad Malaysian Tigers masih berpeluang layak ke pentas Olimpik 2024 menerusi kempen kelayakan yang dijadualkan bermula pada Januari tahun depan.

Begitupun, Mirnawan menyerahkan kepada Jawatankuasa RTG dalam menentukan status skuad kendalian Arul Selvaraj dalam program tersebut pada mesyuarat yang dijadualkan pada 12 Oktober ini.

"Selepas Sukan Asia, Jawatankuasa RTG akan membincangkan mengenai semua sukan, bukan sahaja hoki.

Bagi saya, harus beri peluang kepada hoki untuk terus berada dalam program (RTG) sehingga Kelayakan Olimpik.

"Hoki sebelum ini dimasukkan dalam RTG disebabkan kita berada dalam kelompok 10 dunia.

Pencapaian dan keputusan semasa menunjukkan memang hoki layak ketika itu.

"Lagipun peluang kita untuk layak ke Olimpik belum terpadam kerana masih ada satu lagi peluang.

Artikel Berkaitan:

Secara peribadi RTG mampu membantu (skuad hoki negara) layak ke Olimpik Paris," katanya.

Kegagalan Malaysian Tigers mencapai sasaran memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 menimbulkan tanda tanya terhadap status mereka dalam program RTG.

Malah, ada pihak yang berpandangan anak-anak buah Selvaraj seharusnya digugurkan dalam program itu selepas mereka sekadar menduduki tangga keenam pada Sukan Asia kali ini.

Misi Olimpik Malaysian Tigers belum terkubur

Dalam pada itu kegagalan skuad hoki lelaki negara meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 boleh menjadi hikmah besar buat The Malaysian Tigers.

Tampil dalam misi memburu emas seterusnya menempah slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024, skuad kendalian Arul Selvaraj itu sekadar mampu mengakhiri saingan di tangga keenam.

Dalam aksi penentuan tempat kelima/ keenam, Malaysian Tigers yang sebelum itu menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan, terpaksa akur tewas 2-5 kepada Pakistan.

Bagi Arul, anak-anak buahnya kini mempunyai peluang terakhir untuk menamatkan kemarau 23 tahun beraksi di pentas Olimpik dengan menyambar kuota pada Kelayakan Olimpik mulai Januari tahun depan.

Arul. - Foto Bernama
Arul. - Foto Bernama

"Apa yang boleh saya katakan sebagai jurulatih, tak pernah sekalipun pemain datang untuk kalah kerana semuanya pergi dengan niat nak menang.

"Saya tiada isu dengan kemahuan dan sikap nak menang kerana mereka sudah beri yang terbaik di atas padang.

Cuma kesilapan individu jadi punca kegagalan kita.

"Mungkin ada hikmah di sebalik yang berlaku pada Sukan Asia.

Saya percaya kegagalan ini tidak lama kerana kita akan bangkit semula," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.

Berbanding format Kelayakan Olimpik Tokyo 2020 empat tahun lalu, Kelayakan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung di Muscat, Oman dan Valencia, Sepanyol tampak lebih seimbang buat semua pasukan.

"Kita ada dua peluang di sana.

Pertama sekali kita kena tamatkan saingan sebagai dua pasukan terbaik kumpulan (Kelayakan Olimpik) untuk ke separuh akhir.

Kita akan automatik layak ke Paris 2024 jika kita ke final.

"Tetapi jika tewas di separuh akhir, kita mesti menang perlawanan tempat ketiga dan keempat kerana hanya tiga terbaik diberikan tiket Olimpik daripada kedua-dua kelayakan itu nanti," jelas Arul.

Bagi merealisasikan misi layak ke Olimpik, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mula mengatur sekurang-kurangnya enam aksi persahabatan menentang New Zealand pada Disember depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!