Misi Malaysian Tigers ke Sukan Olimpik Paris 2024 belum padam

Skuad hoki lelaki negara Malaysian Tigers. Foto: Malaysian Hockey Confederation
Skuad hoki lelaki negara Malaysian Tigers. Foto: Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

KEGAGALAN skuad hoki lelaki negara meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 boleh menjadi hikmah besar buat The Malaysian Tigers.

Tampil dalam misi memburu emas seterusnya menempah slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024, skuad kendalian Arul Selvaraj itu sekadar mampu mengakhiri saingan di tangga keenam.

Dalam aksi penentuan tempat kelima/ keenam, Malaysian Tigers yang sebelum itu menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan, terpaksa akur tewas 2-5 kepada Pakistan.

Bagi Arul, anak-anak buahnya kini mempunyai peluang terakhir untuk menamatkan kemarau 23 tahun beraksi di pentas Olimpik dengan menyambar kuota pada Kelayakan Olimpik mulai Januari tahun depan.

"Apa yang boleh saya katakan sebagai jurulatih, tak pernah sekalipun pemain datang untuk kalah kerana semuanya pergi dengan niat nak menang.

"Saya tiada isu dengan kemahuan dan sikap nak menang kerana mereka sudah beri yang terbaik di atas padang. Cuma kesilapan individu jadi punca kegagalan kita.

"Mungkin ada hikmah di sebalik yang berlaku pada Sukan Asia. Saya percaya kegagalan ini tidak lama kerana kita akan bangkit semula," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.

Berbanding format Kelayakan Olimpik Tokyo 2020 empat tahun lalu, Kelayakan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung di Muscat, Oman dan Valencia, Sepanyol tampak lebih seimbang buat semua pasukan.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada dua peluang di sana. Pertama sekali kita kena tamatkan saingan sebagai dua pasukan terbaik kumpulan (Kelayakan Olimpik) untuk ke separuh akhir. Kita akan automatik layak ke Paris 2024 jika kita ke final.

"Tetapi jika tewas di separuh akhir, kita mesti menang perlawanan tempat ketiga dan keempat kerana hanya tiga terbaik diberikan tiket Olimpik daripada kedua-dua kelayakan itu nanti," jelas Arul.

Bagi merealisasikan misi layak ke Olimpik, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mula mengatur sekurang-kurangnya enam aksi persahabatan menentang New Zealand pada Disember depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!