MOM sambut baik usaha penganjur Sukan Olimpik Los Angeles 2028

Mohd Nazifuddin
Mohd Nazifuddin
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyambut baik hasrat penganjur Sukan Olimpik Los Angeles 2028 untuk menyenaraikan lima acara sukan baharu termasuk skuasy pada temasya terbesar dunia itu.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, sememangnya usaha tersebut sudah diperjuangkan sejak MOM di bawah teraju kepimpinan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Malah, beliau turut berharap sokongan daripada kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa perkara tersebut ke pentas Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Sebagai tuan rumah, Los Angeles diberi peluang untuk memperkenalkan sukan yang mereka ingin pertandingkan. Kita sejak zaman Tunku Imran dan (legenda skuasy negara) Datuk Nicol (David) sudah perjuangkan (acara skuasy disenaraikan pada Sukan Olimpik).

“MOM amat mengalu-alukan dan moga dapat sokongan daripada kerajaan untuk memanjangkan sokongan itu kepada Los Angeles,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Terdahulu, tuan rumah Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bercadang menyenaraikan sukan kriket, flag football, lacrosse, skuasy dan besbol-sofbol pada temasya itu yang dijadualkan berlangsung lima tahun lagi.

Bagaimanapun, cadangan penganjur itu tertakluk kepada kelulusan akhir oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang akan mengadakan sesi di Mumbai, India penghujung bulan ini.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Los Angeles 2028 (LA28), Kathy Carter dalam satu kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

“Dalam membina program Sukan Olimpik, kami bersedia untuk mencabar status quo dan berfikir secara berbeza mengenai perkara yang mungkin untuk Sukan di Los Angeles,” ujar Carter.

Mengulas lanjut, Mohd Nazifuddin berkata, skuasy mempamerkan aksi yang konsisten di pentas antarabangsa termasuk menyumbang dua pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.

Berdasarkan rekod tersebut, beliau optimis skuad skuasy mampu menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia jika acara berkenaan dipertandingkan pada Sukan Olimpik.

Pada masa sama, beliau berharap Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dapat membentuk barisan pemain yang lebih mantap sebagai persiapan awal sekiranya skuasy berada dalam senarai acara Sukan Olimpik.

“Berdasarkan rekod kita ada peluang untuk medal (pingat) dan ini jadi cabaran besar buat SRAM. Harap boleh buat program dalam RTG (Road to Gold).

“Cuma kita perlu bersedia perkuatkan lagi pasukan apabila masuk Olimpik ia sudah jadi tahap dunia yang disertai lebih 200 negara berbanding di peringkat Asia 45 negara,” ujarnya.