Pemotong rumput keluar kata-kata lucah pada gadis didenda RM2,500

Affan (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
Affan (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara mengeluarkan perkataan lucah terhadap seorang gadis Ogos lalu, seorang pemotong rumput didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.

Majistret Nabilah Nizam memerintah demikian selepas tertuduh, Affan Razali, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan, didapati mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Tanjung Minyak Perdana, di sini, pada jam 4.14 pagi 7 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat oleh majikan selepas mangsa mengadu dia ketakutan diganggu lelaki tidak dikenali yang mengeluarkan kata-kata lucah mengenai fizikalnya ketika membeli barang di kedai serbaneka berkenaan.

Siasatan dan pemeriksaan video kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis kedai itu membawa kepada penahanan tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan kerana mengaku telah insaf dengan kesilapan itu selain perlu menanggung isteri yang merupakan suri rumah serta tiga anak masih kecil.