Dua individu bertengkar gara-gara pintu kereta tercalar berdamai

Perkongsian di Facebook menunjukkan individu yang terlibat dalam kejadian pertengkaran didakwa berpunca daripada pintu kereta tercalar telah berdamai pada Isnin.
Perkongsian di Facebook menunjukkan individu yang terlibat dalam kejadian pertengkaran didakwa berpunca daripada pintu kereta tercalar telah berdamai pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - "Kejadian tersebut diselesaikan secara baik, saya telah menarik balik laporan polis yang dibuat, demikian perkongsian seorang individu yang dipercayai terlibat dalam pertengkaran gara-gara kereta miliknya didakwa tercalar di sebuah kawasan perumahan di Bandar Sunway di sini pada Isnin.

Individu terbabit memuat naik perkara tersebut menerusi hantaran Facebook miliknya pada Isnin.

"Kes yang viral (tular) tadi telah selesai, permohonan maaf telah dibuat beliau dan saya telah menarik balik laporan polis yang saya buat sebelum ini.

"Harap menjadi pengajaran kepada semua dan saya harap hentikan kecaman di semua platform media sosial, move on, tq (terima kasih) semua," tulisnya menerusi perkongsian di halaman Facebook miliknya.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Pihak polis telah menerima laporan dibuat berkaitan kejadian, bagaimanapun, kedua-dua individu terlibat telah menyelesaikan perkara tersebut secara baik.

"Laporan polis yang dibuat telah ditarik balik," katanya.

Pada Isnin tular di media sosial kejadian melibatkan beberapa individu termasuk pasangan suami isteri akibat perselisihan faham yang berlaku di parkir kereta kawasan perumahan di Sunway di sini.

Video kejadian tersebut memaparkan seorang lelaki menjerit ke arah mangsa dengan menggunakan perkataan yang kurang sopan.

Perkongsian menerusi media sosial yang dimuat naik sebelum ini difahamkan kejadian berlaku apabila suami isteri itu tiba dan meletakkan kenderaan mereka bersebelahan kereta mangsa terbabit, sebelum wanita tersebut bertindak membuka pintu dengan kuat.

Mangsa kemudiannya bertindak menegur perbuatan wanita tersebut sebelum wanita itu kemudiannya memohon maaf atas perbuatannya itu.

Bagaimanapun, mangsa kemudian terdengar wanita tersebut mendakwa kereta milik mangsa diletakkan terlalu hampir dengan kereta dinaikinya mengakibatkan kejadian tersebut berlaku.

Pertengkaran mula tercetus apabila mangsa kemudian sekali lagi menegur perbuatan itu mengakibatkan suami wanita itu menghampiri kenderaan mangsa sebelum berlakunya pertengkaran antara kedua mereka.