19 kawasan rekod IPU tidak sihat, Nilai catat bacaan tertinggi

Pemandangan berjerebu sekitar Kuala Lumpur yang dirakam waktu petang pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Pemandangan berjerebu sekitar Kuala Lumpur yang dirakam waktu petang pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kualiti udara di Semenanjung Malaysia menerusi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat mencatatkan peningkatan sebanyak 19 kawasan di tujuh negeri setakat jam 5 petang pada Ahad.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Nilai, Negeri Sembilan merekodkan IPU tertinggi dengan bacaan 162, diikuti Bukit Rambai, Melaka (160); Batu Pahat, Johor (159); Cheras, Kuala Lumpur (155); Port Dickson, Negeri Sembilan (154); Banting, Selangor (152); Alor Gajah, Melaka (152) dan Bandaraya Melaka, Melaka (152).

Selain itu, Tangkak, Johor (151); Segamat, Johor (151); Putrajaya (148); Klang, Selangor (143); Seremban, Negeri Sembilan (141); Larkin, Johor (138); Paka, Terengganu (120); Kemaman, Terengganu (109); Rompin, Pahang (108); Indera Mahkota Kuantan, Pahang (105) dan Shah Alam, Selangor (103).

Dalam pada itu, sebanyak 42 stesen APIMS di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana, manakala lima stesen lagi mencatatkan bacaan baik iaitu di Sabah dan Sarawak.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Pada Mei lalu media melaporkan pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran berlakunya jerebu lebih serius di rantau selatan ASEAN antara Jun dan Oktober tahun ini.

Amaran itu dibuat ketika musim kemarau diramal berlaku lebih teruk dan berpanjangan daripada biasa dan orang ramai boleh merujuk laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) di https://apims.doe.gov.my/home.html untuk maklumat terkini

Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi APIMS untuk mengetahui bacaan IPU terkini.

Artikel Berkaitan: