MAIS hormati keputusan mahkamah penarikan tauliah Ahmad Dusuki

Ahmad Dusuki (kiri), Abdul Aziz (kanan)
Ahmad Dusuki (kiri), Abdul Aziz (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis yang memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan tersebut atas alasan rayuan yang difailkan itu hanya bersifat akademik semata-mata kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Ahmad Dusuki telah tamat pada 30 Jun lalu.

Menurutnya, MAIS menarik balik tauliah mengajar terhadap Ahmad Dusuki dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berdasarkan maklumat tentang status keaktifannya dalam parti politik termasuk tapisan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, tegas beliau, titah Sultan Selangor berhubung larangan tauliah kepada mana-mana parti politik masih berkuat kuasa di negeri ini.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ahmad Dusuki yang telah dikeluarkan oleh MAIS.

Keputusan itu dibuat berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat MAIS.

Mengulas mengenai penarikan balik tauliah mengajar agama Islam melibatkan penceramah Abdullah Khairi Haroon, Abdul Aziz menegaskan, keputusan Jawatankuasa Tauliah MAIS tersebut juga dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor berhubung larangan pemberian tauliah mengajar agama Islam kepada mana-mana aktivis politik.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, tindakan penarikan balik tauliah itu dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada MAIS.

Abdul Aziz juga menasihatkan semua pihak tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam dan menghormati titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

"Hal ini dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!