Rosmah dakwa pertuduhan pengubahan wang haram tidak dapat perbicaraan adil

Rosmah
Rosmah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil kerana terdapat pertindihan dalam 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7 juta dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, pertuduhan berkenaan bertindan antara satu sama lain dan ia sebenarnya merujuk kepada kesalahan yang sama.

"Pertuduhan pertama hingga pindaan ke-12 (pengubahan wang haram) adalah cacat, kabur serta defektif kerana tidak menyatakan apakah aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam afidavit jawapan yang difailkan 22 September lepas bagi menjawab afidavit balasan Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn dalam permohonan Rosmah bagi membatalkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.

Menerusi afidavit itu, Yih Tinn berkata, tiada sebarang peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menghalang pendakwaan terhadap Rosmah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.

Sementara itu, Rosmah mendakwa butiran dalam pertuduhan ke-13 hingga ke-17 (gagal isytihar pendapatan) mengelirukan kerana telah menggabungkan kesalahan pengubahan wang haram.

"Oleh yang demikian, tidak jelas sama ada saya dipertuduhkan dengan kesalahan di bawah Akta (Pencegahan) Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 atau dengan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmah berkata, sekiranya perbicaraan diteruskan dengan pertuduhan-pertuduhan yang sedia ada, maka ia bercanggah dengan haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Artikel Berkaitan:

"Dengan hanya merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan tersebut, jelas bahawa saya tidak akan mendapat suatu perbicaraan yang adil. Tambahan pula, terdapat kemungkinan di mana saya akan dibicarakan, disabitkan dan dihukum lebih daripada sekali bagi satu kesalahan yang sama,” katanya.

Rosmah memfailkan notis usul itu, memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 4 Oktober 2020.

Rosmah, 71, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan bagi kes itu bermula pada 24 Ogos lepas dengan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan. - Bernama