Keputusan peguam bebas sembilan tuduhan ubah wang haram RM6.5 juta kekal

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebas dan melepaskan seorang peguam daripada sembilan pertuduhan termasuk menerima dan menggunakan dana RM6.5 juta yang didakwa diperoleh daripada aktiviti haram, enam tahun lepas.

Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 30 November 2022, yang membebas dan melepaskan M. Pathmarajah, 67.

Dalam penghakimannya, Muniandy berkata hakim Mahkamah Sesyen membuat itu setelah mendapati perayu (pendakwaan) gagal membuktikan kes prima facie terhadap responden (Pathmarajah).

"Mahkamah ini mendapati perintah membebaskan tertuduh oleh hakim Mahkamah Sesyen itu betul. Saya dapati mahkamah ini tiada sebab untuk mengubah atau mengganggu keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen. Oleh itu rayuan (pendakwaan) perayu ditolak,” kata Muniandy.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni manakala responden diwakili peguam Datuk C. Vignesh Kumar.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 November 2022, yang membebas dan melepaskan Pathmarajah daripada pertuduhan pengubahan wang haram pada akhir kes pendakwaan.

Seramai 24 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Pada 7 April 2021, Pathmarajah, rakan kongsi firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co, didakwa atas tiga pertuduhan menerima RM3,735,200, RM640,070 dan RM2,161,330 dipercayai hasil aktiviti haram, melalui empat keping cek ke dalam dua akaun semasa firma guaman itu.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di cawangan Malayan Banking Berhad dan Public Bank Berhad di Jalan Maarof, Bangsar Baru di sini antara 8 Ogos 2017 dan 12 Februari 2018.

Selain itu, dia juga didakwa memindahkan RM608,370 dipercayai hasil aktiviti haram, daripada akaun semasa di Malayan Banking milik Tetuan Mazwan Pathma ke dalam akaun simpanan tetap di bank sama milik firma guaman sama, selain mengeluarkan cek sebanyak RM1,080,000 dan RM2 juta daripada akaun semasa Malayan Banking kepada dua syarikat iaitu Mitz Luniques Sdn Bhd dan Emizen Line Sdn Bhd.

Pertuduhan keempat hingga keenam itu didakwa dilakukan di Malayan Banking, Jalan Maarof, Bangsar Baru di sini antara 12 Februari 2018 dan 16 April 2018.

Pathmarajah didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memindahkan wang RM22,000, RM1,594,757 dan RM1,538,484 yang didakwa diperoleh daripada aktiviti haram, daripada dua akaun semasa firma guaman itu di Public Bank dan Malayan Banking ke dalam dua akaun semasa di Malayan Banking dan satu akaun semasa di Public Bank milik firma yang sama antara 16 Ogos 2017 dan 21 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, apabila disabitkan. - Bernama