Maqis kesan mangga Thailand ada serangga perosak

Pegawai penguasa Maqis memotong mangga untuk diperiksa di ICQS Rantau Panjang. (Gambar kecil: Serangga perosak yang dikesan dalam mangga ketika pemeriksaan di ICQS Rantau Panjang.) - Foto: Maqis Kelantan
Pegawai penguasa Maqis memotong mangga untuk diperiksa di ICQS Rantau Panjang. (Gambar kecil: Serangga perosak yang dikesan dalam mangga ketika pemeriksaan di ICQS Rantau Panjang.) - Foto: Maqis Kelantan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan mengesan mangga dari Thailand mempunyai serangga perosak dalam kejadian Rabu lalu.

Pengarahnya, Syed Fuad Syed Putra berkata, mereka mengesan serangga berkenaan susulan pemeriksaan rutin kemasukan konsainan itu di pintu masuk Rantau Panjang.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan pegawai penguasa Maqis di laluan import Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mendapati buah mangga yang dibawa masuk mempunyai lebih daripada seekor serangga perosak.

"Ia disyaki daripada spesies mango pulp weevil (sternochetus frigidus) pada mangga yang diimport itu.

"Justeru, kita menahan konsainan yang dianggarkan bernilai RM4,687.50 itu bertujuan menghalang dan mengawal kemasukan serangga perosak yang boleh melumpuhkan industri pertanian negara terutama tanaman mangga tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Syed Fuad berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengimport keluaran pertanian yang dipercayai mempunyai serangga perosak.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Jelas beliau, menjadi keutamaan Maqis untuk sentiasa teliti dan cekap menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang diimport ke Malaysia bagi menjamin setiap keluaran pertanian tiada serangga perosak.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, jabatan itu turut melakukan pemeriksaan rapi jika produk pertanian diserang penyakit atau bahan cemar.

"Mereka yang membawa masuk produk dari luar ke negara perlu mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.