Lelaki warga India maut dalam kejadian langgar lari

Seorang lelaki warga India maut di tempat kejadian apabila dirempuh sebuah kereta yang dipercayai memasuki laluan mangsa.
Seorang lelaki warga India maut di tempat kejadian apabila dirempuh sebuah kereta yang dipercayai memasuki laluan mangsa.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki warga India maut selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Batu Arang ke Rawang, dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam berhampiran NSK Rawang itu, mangsa berusia 42 tahun menunggang motosikal dari arah Batu Arang menghala ke Rawang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut telah masuk ke laluan mangsa dan melanggar motosikal yang dinaiki warga India itu.

Kata beliau, kemalangan itu menyebabkan motosikal mangsa turut melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun.

"Kemalangan maut ini melibatkan empat buah kenderaan iaitu sebuah motosikal yang ditunggang mangsa, dua buah kereta dan sebuah lori.

"Lori yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun tidak sempat mengelak dan melanggar sebuah kereta.

"Dipercayai pemandu kenderaan yang telah melanggar mangsa telah bertindak melarikan diri dan masih belum tampil untuk membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Zainal berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan.

Jelasnya, mangsa telah dibawa ke jabatan forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat, namun pemandu kereta dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akata Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Norazlan Noorudin di talian 019-7974466 atau IPD Gombak di talian 03-61262222," ujarnya.