Hutang disyaki motif pembunuhan tiga lelaki Sri Lanka

Laporan Sinar Harian pada 23 September lalu.
Laporan Sinar Harian pada 23 September lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Motif kes pembunuhan tiga lelaki warga Sri Lanka di sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, di sini, pada 22 September lalu dipercayai berpunca akibat masalah hutang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan kes itu sudah selesai dan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan.

"Kita percaya motif kejadian ini ada kaitan dengan wang, hutang, bayaran dan sebagainya.

"Kita telah menuduh empat suspek iaitu pasangan suami isteri yang ditahan pada hari kejadian serta dua lelaki warga Sri Lanka manakala empat lagi suspek dipercayai memberi perlindungan dibebaskan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai keadaan mayat ketiga-tiga mangsa ketika ditemui, Allaudeen berkata, tiada tanda dera ditemui pada mayat mereka.

"Tidak ada tanda-tanda (mangsa) diseksa. Hasil siasatan dilakukan, kita percaya mereka diikat dan dilemaskan.

“Ia seiring dengan keputusan bedah siasat terhadap mangsa dengan punca kematian adalah lemas,” katanya.

Pada 23 September lalu, media melaporkan polis menemukan mayat warga Sri Lanka di bilik stor di lokasi kejadian selepas pihak polis menerima panggilan berkaitan satu pergaduhan pada 22 September.

Artikel Berkaitan:

Allaudeen dilaporkan berkata, ketika-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan, manakala kepala mereka ditutup dengan plastik selain seorang daripada mangsa ditemukan dalam keadaan bogel.

Susulan itu, polis menahan pasangan suami isteri dipercayai ibu bapa kepada salah seorang mangsa ketika hari kejadian, manakala dua suspek utama ditahan pada 25 September di Hulu Langat, di sini.

Selain itu, empat suspek yang terdiri daripada tiga warga Sri Lanka dan seorang Pakistan berusia 20-an hingga 40-an ditahan di Petaling Jaya di sini dipercayai memberi perlindungan kepada dua suspek utama.