Lelaki warga emas maut dirempuh ketika berhenti di lampu isyarat

Tangkap layar video kejadian terbabit di Facebook. - Foto Media sosial
Tangkap layar video kejadian terbabit di Facebook. - Foto Media sosial
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas sebuah van disyaki hilang kawalan merempuh beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Haji Abdul Hamid berhadapan sebuah medan selera dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian kira-kira jam 1 petang itu membabitkan lima kenderaan membabitkan sebuah van, lori, dua kereta dan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa lelaki berusia 62 tahun.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota dipandu lelaki berusia 34 tahun sedang bergerak terus di lorong kiri dari arah Bandar Seremban ke Temiang.

"Sebaik tiba di lokasi, van berkenaan disyaki hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu lelaki berusia 64 tahun dan motosikal jenis Honda RS ditunggang mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu van terbabit telah terbabas menaiki tembok kiri jalan raya dan melanggar sisi kiri sebuah lori jenis Mitsubishi FE yang dipandu lelaki berumur 49 tahun.

"Susulan itu, kereta Toyota Vios terbabit turut menggelungsur ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang lori sama sebelum lori terbabit terlanggar pula sebuah lagi kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 42 tahun.

"Akibatnya, mangsa (penunggang motosikal) mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), namun disahkan meninggal dunia di zon merah ketika menerima rawatan manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan," katanya.

Ujarnya, pemandu van telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguat Kuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan air kencing dan kandungan alkohol dalam badan telah dibuat terhadap pemandu tersebut dan keputusan kedua-dua ujian adalah negatif.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhamad Alif Ab Jalil di talian 018-2029479 atau IPD Seremban 06-6033222 bagi membantu siasatan.

" Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.