Agensi agama, tokoh Islam perlu beri input dalam RMK, Belanjawan

Anwar (dua dari kiri) bersalaman dengan orang ramai ketika tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah Kota Kinabalu untuk merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJAM 2023) pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar (dua dari kiri) bersalaman dengan orang ramai ketika tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah Kota Kinabalu untuk merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJAM 2023) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Agensi hal ehwal Islam serta tokoh Islam perlu memberi input dalam dasar negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan belanjawan tahunan negara agar konsep Malaysia Madani dapat diterapkan untuk pembangunan negara dan rakyat yang lebih mampan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak terlibat perlu memberi input secara keseluruhan dalam dasar itu dan tidak hanya fokus kepada bidang agama Islam semata-mata tetapi juga dalam bidang lain yang memerlukan.

"Saya telah sampaikan kepada pegawai Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk memberikan kerjasama kerana berbeza pendekatan lalu, kita tidak gunakan badan-badan Islam ini hanya untuk program agama secara terpisah.

Ketika saya mengupas kajian separuh penggal RMK-12, draf itu saya kirim kepada Ketua Pengarah Jakim dan mohon supaya ulas, bukan ulasan tentang program agama (tetapi) ulasan tentang RMK-12," katanya berucap merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam Rabu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Perdana Menteri berkata, ulasan itu penting agar beliau dapat membentangkan RMK-12 yang mengandungi suntikan dan pandangan daripada pakar-pakar Islam agar semangat MADANI dapat diterapkan.

Beliau berkata Malaysia MADANI juga merupakan antara "perencah” penting dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Oktober ini.

IJPAM 2023 yang berlangsung bermula 30 September hingga esok menyaksikan penyertaan 1,837 peserta daripada pelbagai agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan dan negeri dari seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: