'Nama Kampung Baru tetapi jalan masih lama' - Penduduk

Keadaan laluan yang berlopak menyukarkan penduduk untuk keluar dan masuk terutama ketika musim hujan.
Keadaan laluan yang berlopak menyukarkan penduduk untuk keluar dan masuk terutama ketika musim hujan.
A
A
A

PENDANG - Penduduk Belida 40 Kampung Sungai Baru di sini meminta ihsan kerajaan beri perhatian terhadap kemudahan asas di kawasan itu memandangkan belum pernah merasai jalan bertar biarpun lebih 30 tahun menetap di kampung berkenaan.

Penduduk, Fazli Abdullah, 49, berkata, menjadi rutin harian mereka berdepan jalan kampung yang sempit, berlubang dan berlumpur setiap kali musim hujan.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan penduduk yang ingin keluar terutama menghantar anak ke sekolah kerana terpaksa berdepan dengan risiko terjatuh atau terlekat lumpur setiap kali melalui laluan berkenaan.

"Jalan ni dari saya umur 12 tahun sampai sekarang, baru ada sekali diletakkan batu... tak pernah diturap langsung.

"Penduduk minta kerajaan buatlah jalan bagi elok, susah kami nak bawa anak sekolah. Musim hujan kena naik kereta, jalan sempit tak boleh berselisihan dengan kenderaan lain, tambah-tambah bila termasuk lubang, faham-faham sahajalah," katanya.

Selain itu, Mohd Jamil Saleh, 62, berkata, sepanjang umurnya, belum pernah dia merasai jalan tar di kampung berkenaan serta berbesar hati jika diberi kemudahan itu.

"Nama Kampung Baru tetapi keadaan jalan masih di takuk lama. Kami minta sangat kerajaan pantau kemudahan yang tidak sempurna agar diperbaiki atau naik taraf," katanya.

Jelasnya, sebagai rakyat yang menyokong kepimpinan kerajaan, penduduk kampung turut ingin merasai nikmat kemudahan asas yang sepatutnya dirasai semua peringkat.

Artikel Berkaitan:

Jalan tersebut turut menjadi laluan utama penduduk.
Jalan tersebut turut menjadi laluan utama penduduk.

Hamid Saleh, 60, berkata, disebabkan infrastruktur tidak lengkap, terdapat penduduk yang berhijrah ke kawasan lain memandangkan tidak selesa dengan keadaan tersebut.

"Anak-anak muda yang pulang ke kampung juga merungut dengan keadaan jalan yang berlubang ditambah pula ketika musim hujan, habis berlumpur kereta, jenuh basuh kereta pagi petang.

"Orang luar pula dah serik nak ziarah kampung kami sebab jalan teruk. Selain risiko masuk lubang, keadaan itu juga memberi kesan terhadap keupayaan kenderaan mereka yang mungkin cepat rosak," katanya.

Penduduk bagaimanapun berharap agar laluan berkenaan dinaik taraf seperti diturap atau diberi keselesaan dengan mengambil kira faktor keselamatan pengguna.

Ia turut melibatkan kanak-kanak yang membonceng motosikal terutama yang berulang-alik ke sekolah setiap hari menggunakan laluan yang sama.