Kemudahan bank di Pelangai dapat perhatian Ahmad Maslan

Ahmad - Foto fail Bernama
Ahmad - Foto fail Bernama
A
A
A

BENTONG - Kemudahan bank komersial yang menjadi keperluan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini mendapat perhatian Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, beliau telah meminta Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berada di bawah Kementerian Kewangan untuk mengkaji dan membuat keputusan segera berhubung kebolehlaksanaan sebuah bank mini di kawasan tersebut.

"Saya telah sampaikan hasrat penduduk Pelangai untuk ada sebuah bank dan hasrat itu disampaikan kepada CEO Bank, Jay Khairil Jeremy,

"Beliau (Jay) telah berjanji untuk menghantar pasukan segera bagi mengkaji kebolehlaksanaan cawangan BSN di sini," kata beliau ketika ditemui di Kampung Lembah Jaya di sini pada Khamis.

Beliau juga memberitahu telah meminta calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam supaya membuat susulan selepas 7 Oktober ini untuk memastikan kemudahan tersebut dapat dilaksanakan.

"Setakat ini sudah ada ejen-ejen bank di Pelangai, namun transaksinya terhad jadi saya meminta kajian itu disegerakan, tak payah lama-lama.

"Di sini ada tiga kawasan rancangan Felda dan mereka mempunyai keupayaan untuk menyimpan, mereka ada keupayaan untuk meminjam, begitu juga dalam kalangan guru sekolah, juga perkhidmatan lain polis, klinik termasuk peniaga kecil," tambah Ahmad.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya memantau penggunaan jentera dan agensi-agensi kerajaan di Pelangai, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagaimanapun mempersoalkan 'aset' digunakan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Artikel Berkaitan:

"Dia bekas Perdana Menteri, ada pengawal peribadi, pengiring, kereta kerajaan lalu depan-depan betul saya di sebuah kedai di Felda Sungai Kemahal beberapa hari lalu.

"Itu aset Muhyiddin ke, aset kerajaan?... Jadi saya menjawabnya secara sendiri tuduhan Tuan Ibrahim Tuan Man," tambah Ahmad.