Rancakkan kembali industri pelancongan

Penggerak industri pelancongan mohon diberi pertambahan peruntukan menerusi Belanjawan 2024 supaya dapat terus merancakkan sektor itu dalam negara.
Penggerak industri pelancongan mohon diberi pertambahan peruntukan menerusi Belanjawan 2024 supaya dapat terus merancakkan sektor itu dalam negara.
A
A
A

KOTA BHARU - Pertambahan peruntukan menerusi Belanjawan 2024 perlu diberikan khusus kepada industri pelancongan supaya dapat membantu memperkasakan sektor itu yang sedang rancak di Kelantan ketika ini.

Selepas terhimpit akibat pandemik Covid-19, pihak berkepentingan dan penggerak industri tersebut optimis keadaan pasti akan lebih baik dengan bantuan serta sokongan daripada kerajaan.

Pengusaha Cheqma Tiny Chalet, Zalma Zakaria, 52, berkata, industri itu ketika ini memerlukan lebih banyak pengecualian cukai di samping pelbagai insentif yang dapat membantu memperkembangkan tempat penginapan pelancongan untuk menarik pengunjung domestik dan antarabangsa.

“Industri pelancongan sedang meningkat naik dengan mendadak selepas melepasi keperitan fasa pandemik Covid-19 namun masih memerlukan kerajaan untuk terus menjana ekonomi dan keuntungan.

“Insentif diberikan oleh kerajaan terhadap industri ini diakui sangat banyak tetapi boleh dipertingkatkan lagi dan sebelum ini ada sedikit kesukaran untuk mendapatkan kemudahan yang disediakan kerajaan.

"Perkara seperti syarat-syarat untuk mendapatkan insentif itu sepatutnya perlu dipermudahkan agar semua pihak mendapat manfaat sekali gus menaik taraf tempat penginapan pelancongan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pertumbuhan tempat-tempat penginapan pelancongan di Kelantan sangat tinggi dan naik mencanak sejak sempadan negeri serta negara dibuka.

Sementara itu, pengusaha Rumah Tepi Sungai@KB, Nazirah Johar, 47, berkata, tumpuan kerajaan juga perlu diarah kepada pengusaha inap desa di lokasi di tepi sungai seperti di Kampung Pulau Belacan di sini.

Katanya, muara sungai itu sangat berpotensi untuk diadakan sukan air seperti kayak atau bot rekreasi bahkan rumah tumpangannya sendiri jadi tumpuan dan sudah penuh ditempah untuk tarikh perayaan Aidilfitri serta Aidiladha akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Ketika ini masih banyak tempat yang boleh dimajukan, jika ada peruntukan disalurkan oleh kerajaan. Misalnya, kawasan di tepi sungai di Kampung Pulau Belacan ini mempunyai pemandangan yang sangat menarik terutama waktu senja dan boleh diadakan sukan berkayak.

“Pengunjung tempatan dan luar dari Kelantan, ramai yang datang untuk beriadah namun belum dibangunkan apa-apa kemudahan di kawasan itu.

“Jika disediakan dana untuk membina kemudahan seperti tandas dan mencantikkan lagi tempat itu, sudah pasti akan lebih ramai pelancong yang akan datang ke Kelantan,” ujarnya.

Pemilik Rumah Rakit Joe Armani, Muhamad Juhari Nawang, 52, pula berharap kerajaan dapat memperluas dan menambah subsidi petrol kepada pengusaha bot memancing serta riadah seperti diusahakannya di tepi Sungai Kelantan di Wakaf Bharu, Tumpat, sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, mempunyai 70 rumah rakit dan 10 bot sepanjang 4.6 meter disediakan untuk disewa oleh pelancong sama ada untuk memancing atau bersiar-siar di pulau-pulau berhampiran.

“Selain kos petrol, perkhidmatan pelancongan melibatkan sungai ini juga perlu dipastikan aspek-aspek keselamatannya terjamin seperti pemakaian jaket.

“Kesemua itu memerlukan modal yang besar dan mohon kerajaan untuk melihat serta membantu kami supaya dapat terus merancakkan sektor pelancongan, seterusnya menambah baik ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.