Jangan harapkan industri pelancongan negara berkembang secara organik - MCA

Foto hiasan. Gambar kecil: Datuk Chong Sin Woon
Foto hiasan. Gambar kecil: Datuk Chong Sin Woon
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak seharusnya mengharapkan industri pelancongan negara berkembang secara organik memandangkan negara-negara lain sedang mengambil langkah strategik untuk menarik pengunjung secara agresif.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, kerajaan digesa untuk melihat secara serius langkah-langkah untuk mengekalkan daya saing Malaysia dalam pasaran sektor pelancongan global.

“Di Thailand sebagai contoh, selain daripada pengecualian visa, semua inisiatif promosi pelancongan diselaraskan secara berpusat dengan pihak berkuasa persekutuan memberikan sokongan penuh kepada kempen sama ada peringkat tempatan atau bandar.

“Ia supaya tidak berlaku pembaziran sumber dan pihak berkuasa pusat boleh mempromosikan seluruh negara sebagai destinasi yang menarik untuk pengunjung bercuti,” katanya dalam siaran di Facebook pada Rabu.

Pada 13 September, media memaklumkan Thailand mengecualikan keperluan visa bagi pengembara dari China dan Kazakhstan untuk tempoh lima bulan mulai 25 September hingga akhir Februari, dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong.

Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata, pengecualian sementara itu dijangka menarik lima juta pelawat tambahan.

Sementara itu, ujar Sin Woon, Malaysia berpotensi menjana pendapatan RM10 bilion untuk ekonomi negara sekiranya mengambil langkah sama seperti Thailand dalam menawarkan pengecualian visa kepada pelancong.

“Malaysia tidak seharusnya kehilangan daya saing kita dan harus melakukan lebih banyak lagi untuk menangkap bahagian yang lebih besar dalam segmen pelawat keluar yang semakin meningkat dari negara seperti China dan di mana visa pelawat masih diperlukan.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia sepatutnya berada pada kedudukan yang baik sekarang untuk menarik pelancong memandangkan musim cuti dari sekarang hingga akhir tahun atau Tahun Baharu Cina 2024.

“MCA terus menyokong dan menggemakan gesaan industri pelancongan agar Malaysia mengambil langkah taktikal untuk menarik pelancong termasuk menawarkan pengecualian visa untuk tempoh tertentu, sekurang-kurangnya sekarang sehingga Tahun Baharu Cina tahun depan,” jelasnya.