Penjana Kerjaya: Ahli perniagaan, bekas pemilik syarikat didenda

Seorang ahli perniagaan dan bekas pemilik syarikat perisian komputer masing-masing didenda RM180,000 dan RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berhubung insentif pengambilan kerja di bawah Program Penjana Kerjaya, dua tahun lepas.
Seorang ahli perniagaan dan bekas pemilik syarikat perisian komputer masing-masing didenda RM180,000 dan RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berhubung insentif pengambilan kerja di bawah Program Penjana Kerjaya, dua tahun lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dan bekas pemilik syarikat perisian komputer masing-masing didenda RM180,000 dan RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berhubung insentif pengambilan kerja di bawah Program Penjana Kerjaya, dua tahun lepas.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman denda RM180,000 ke atas G Dharmaseelan, 31, manakala Mohd Hamdi Mohamed Zain, 44, dijatuhi hukuman denda RM50,000.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap Dharmaseelan dan Mohd Hamdi dipenjara 10 bulan sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

Dharmaseelan didakwa memperdayakan akauntan kanan bahagian kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Rahil Sapura Mustafa untuk mempercayai bahawa tertuduh telah mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bagi 60 pekerja syarikat GSD Resources milik tertuduh.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa meluluskan baucar bayaran bertarikh 10 November 2021 berjumlah RM86,240 ke dalam akaun bank syarikat GSD Resources yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara PERKESO, Jalan Ampang di sini pada 10 November 2021 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh menyediakan dokumen permohonan dan surat pelantikan mengandungi butiran palsu bagi 60 pekerja yang tidak pernah bekerja dengan syarikat GSD Resources kepada pihak Perkeso dan surat pelantikan itu tidak dimuat naik ke dalam sistem PERKESO.

Berikutan dokumen yang dihantar oleh tertuduh, Rahil kemudian meluluskan bayaran sebanyak RM86,240 bagi 60 pekerja tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hamdi pula didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu borang pengesahan pekerja atas nama Perusahaan Syarikat Synergy Communication Technology Sdn Bhd (SCTSB) miliknya bagi tujuan permohonan program insentif pengambilan pekerja berjumlah RM45,600 melalui sistem Penjana Kerjaya untuk memperdayakan Pegawai Perkeso Mira Sabriena Romain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma PERKESO, Jalan Tun Razak di sini pada 31 Mac 2021, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memuat naik borang pengesahan seramai 36 pekerja di syarikatnya bagi program insentif pengambilan pekerja dan bantuan mobiliti menerusi sistem Penjana Kerjaya ke dalam portal PERKESO dan borang itu diluluskan oleh pegawai PERKESO serta bayaran wang RM45,600 dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat itu.

Namun, siasatan mendapati 13 individu tidak lagi bekerja dan tidak menerima gaji daripada syarikat SCTSB mahupun tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin dan Pegawai Pendakwa SPRM, Afiqah Ab Razak memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan masyarakat.

Peguam TP Aravind Raj yang mewakili Dharmaseelan memohon hukuman denda minima dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta seorang ibu orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah penglihatan manakala Mohd Hamdi yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minima kerana dia kini bekerja di kampung dan menyesal dengan kesalahannya itu. - Bernama