Ada pemilik syarikat ugut pemandu hadir timbang lori - JPJ

Sebuah lori yang membawa muatan lebih menjalani pemeriksaan timbangan semasa operasi lebih muatan yang dilakukan JPJ Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning dan beberapa lokasi sekitar negeri ini baru-baru ini.
Sebuah lori yang membawa muatan lebih menjalani pemeriksaan timbangan semasa operasi lebih muatan yang dilakukan JPJ Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning dan beberapa lokasi sekitar negeri ini baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan pemandu lori sering berhadapan ugutan dan dirayu oleh pemilik syarikat supaya tidak hadir membuat timbangan berat kenderaan apabila diarahkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, ia adalah untuk mengelakkan daripada dikenakan denda yang tinggi oleh mahkamah, setelah kenderaan mereka ditahan kerana disyaki membawa muatan berlebihan.

Ini kerana jelasnya, jika didapati membawa lebih muatan, denda akan dikenakan kepada syarikat, bukan kepada pemandu.

"Sebolehnya pemilik syarikat mengarahkan pemandu melarikan diri setelah kenderaan mereka ditahan dan diminta hadir ke stesen timbang untuk penentuan berat muatan.

"Untuk itu, pihak syarikat akan bertindak mengugut sama ada diberhentikan kerja atau gaji dipotong jika pemandu melakukan timbangan seperti yang diminta oleh anggota JPJ," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas pelaksanaan operasi lebih muatan yang dilakukan JPJ Selangor di Plaza Tol Kota Kemuning dan beberapa lokasi sekitar negeri ini.

Dalam operasi tersebut katanya, JPJ Selangor memfokuskan pemeriksaan kenderaan komersial bermula jam 12.30 malam hingga 10 pagi.

Jelasnya, beberapa perkara utama seperti lebih muatan dan membawa muatan tidak sesuai.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Kamarunzaman berkata, perbuatan membawa muatan berlebihan adalah bertujuan mendapat keuntungan lebih.

Kata beliau, lori yang membawa muatan berlebihan kebanyakannya membawa pasir, batu serta tanah merah.

"Selain itu, kesalahan lain yang turut dikesan adalah melibatkan kesalahan teknikal," ujarnya.

Selain itu menurutnya, JPJ Selangor berjaya menahan seorang pemandu lori yang dikehendaki oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi proses perundangan.

Tegasnya, JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan.

Tambahnya, sebarang aduan trafik, orang ramai boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.