Kisah Pelangai dan 'orang minyak'

Simpang Pelangai menjadi laluan utama menghubungkan Pelangai dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Simpang Pelangai menjadi laluan utama menghubungkan Pelangai dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
A
A
A

BENTONG - “Pelangai tu apa? Oh nama tempat, di mana? Apa maksud Pelangai?”.

Itu antara reaksi masyarakat luar ketika mendengar nama Pelangai yang merupakan satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun, nama Pelangai yang mungkin selama ini agak tenggelam dan kurang dikenali kini mula meniti di bibir masyarakat susulan pilihan raya kecil (PRK) kawasan tersebut.

Di sebalik kesibukan suasana pilihan raya, masih ramai tidak begitu mengenali mukim yang terletak di daerah Bentong, Pahang ini.

Apa yang uniknya, kawasan ini boleh dikatakan terletak di tengah-tengah semenanjung Malaysia kerana mempunyai akses laluan untuk ke pantai timur, selatan dan ke arah Kuala Lumpur.

Kampung tradisinya seperti Kampung Manchis, Kampung Hayat, Kampung Shafie, Kampung Baris, Kampung Bukit Gajah dan Kampung Jawi-Jawi hanya terletak kira-kira 10 kilometer dengan Simpang Durian di Negeri Sembilan.

Selain kampung tradisi, terdapat beberapa perkampungan Orang Asli dan tiga tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Pelangai iaitu Felda Chemomoi, Felda Kemasul dan Felda Kemahal.

Artikel Berkaitan:

DUN Pelangai mempunyai keunikan apabila masyarakatnya terdiri daripada mereka yang berasal dari luar Pahang khususnya penduduk di tiga tanah rancangan Felda.
DUN Pelangai mempunyai keunikan apabila masyarakatnya terdiri daripada mereka yang berasal dari luar Pahang khususnya penduduk di tiga tanah rancangan Felda.

Sosioekonomi di Pelangai amat sederhana kerana hanya terdapat dua stesen minyak yang dimiliki koperasi, tiada cawangan bank sekadar kiosk mesin pengeluaran wang automatik (ATM), tiada pasar raya besar dan tiada hotel.

Rata-rata warganya akan ke sempadan daerah lain untuk mencari barangan keperluan dan kemudahan yang tiada dalam mukim mereka.

Majoriti orang Pelangai merupakan peneroka Felda dan selebihnya menjalankan kegiatan pertanian secara kecil-kecilan.

PELBAGAI VERSI ASAL USUL NAMA

Jika disemak perkataan Pelangai itu sendiri tidak wujud dalam Dewan Bahasa dan Pustaka membuatkan ada yang tertanya-tanya apakah maksud di sebalik nama tempat yang agak unik ini.

Sebenarnya terdapat pelbagai versi tentang asal usul nama Pelangai.

Menurut Tok Empat Kampung Bukit Gajah, Abdullah Hashim, 61, berdasarkan cerita orang lama, nama Pelangai diambil sempena satu kawasan paya besar dipanggil Paya Pelangai yang terletak antara sempadan Kampung Bukit Gajah dan Jawi-Jawi.

Katanya, kawasan paya itu menjadi tumpuan orang kampung mencari sumber makanan.

“Ada juga yang kata punca nama Pelangai daripada tempat melangai ikan atau daging. Kayu disusun dan dihidupkan api itu dipanggil melangai atau sekarang ni kita panggil salai.

“Di paya itu dulu ada orang yang melangai ikan, mungkin kerana itu kawasan ini dinamakan Pelangai,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi warga Pelangai, Sabar Sarib, 83, yang merupakan peneroka Felda Chemomoi di sini berkata, terdapat juga versi asal usul nama Pelangai dari perkataan pelangi.

“Masa orang dulu bincang nak namakan apa, mereka nampak pelangi kemudian disebut ‘pelangai’. Mungkin sebab itu kekal nama Pelangai sehingga hari ini,” jelasnya.

Menurut generasi kelima dari Kampung Baris ini, penempatan di Pelangai bermula dengan kampung-kampung tradisi sebelum kewujudan Simpang Pelangai dan kemudiannya barulah penempatan Felda dibuka.

“Pelangai ini orang dari perkampungan Temerloh melalui sungai dan mudik ke Sungai Triang. Mereka mula buka perkampungan Baris, Jawi-Jawi, Bukit Gajah dan akhir sekali baru Simpang Pelangai sebelum peneroka Felda masuk,” ujarnya.

Gempar kehadiran ‘orang minyak’

Sebalik sejarah pembukaan kawasan penempatannya, Pelangai rupanya pernah digemparkan dengan cerita ‘orang minyak’ kira-kira 50 tahun dulu menyebabkan berlaku pemindahan puluhan keluarga penduduk Felda ke luar negeri Pahang.

Sabar berkata, ketika itu penempatan Felda masih baharu dan hanya terdapat orang Pahang dan Melaka.

“Ada orang kampung mendakwa nampak kesan minyak tapak tangan di luar rumah. Semua jadi takut dan berjaga malam.

“Setiap malam akan ada orang berkawal dan penduduk berkumpul beramai-ramai dalam satu rumah sebab ketakutan,” ceritanya.

Seorang penduduk Felda Chemomoi, Jamil Karim, 62, berkata, dia masih ingat kejadian yang menggemparkan tersebut walaupun ketika itu masih kecil.

Katanya, ketakutan penduduk berlarutan selama kira-kira tiga bulan namun dikatakan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Bila ada kesan tapak tangan, dia nak beritahu dia wujud. Jadi penduduk takut sebab kita tahu biasanya orang minyak ini mereka yang mengamalkan ilmu kebal. Takut dia masuk rumah dan menyerang dengan memperkosa anak dara.

“Tapi waktu itu anak-anak penduduk semuanya masih kecil. Cuma semuanya dalam keadaan berjaga-jaga,” ceritanya.

Tambah Jamil, rentetan peristiwa tersebut menjadi antara punca ramai warga Felda yang ‘lari’ keluar daripada kawasan Pelangai dan kisah kewujudan orang minyak juga berhenti begitu saja.

“Selepas itulah ramai orang dari luar termasuk Kelantan, Kedah masuk ke tanah rancangan di Pelangai ni. Sebab itu sekarang Felda Pelangai jadi 'rojak.

“Orang Pahang dan Melaka sedia ada sejak awal, mereka peneroka asal yang tidak ‘lari’ masa kes orang minyak dulu. Bila ada kekosongan, penempatan Felda ini ditawarkan kepada orang-orang di negeri lain pula,” tambahnya.

Ujarnya, keberadaan penduduk Pelangai khususnya di penempatan Felda terdiri daripada mereka yang berasal dari negeri-negeri lain menjadi keunikan masyarakat di kawasan itu yang boleh bergaul dan menjalani kehidupan harmoni sehingga hari ini.