PRK Pelangai: Pengundi perlu berani buat perubahan

Haslihelmy menyantuni pengundi di kampung Baris di sini pada Ahad.
Haslihelmy menyantuni pengundi di kampung Baris di sini pada Ahad.
A
A
A

BENTONG - Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai perlu berfikiran matang dan berani mempamerkan kuasa dengan memilih calon tepat bagi mewakili suara mereka.

Calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, perubahan itu boleh dilakukan menerusi undi mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai pada Sabtu ini.

"Pengundi Pelangai kena bijak kali ini.

Jangan kita diperbodohkan dengan janji-janji manis dan pemberian gula- gula hanya sementara.

"Inilah masanya untuk pengundi untuk menggunakan kuasa memilih wakil rakyat yang mampu membawa perubahan dan suara mereka ke sidang DUN," ujarnya yang menyantuni pengundi di Kampung Baris di sini pada Ahad.

Ditanya mengenai perjalanan kempen, Haslihelmy menjelaskan penerimaan pengundi di DUN Pelangai memberangsangkan dan berjalan lancar.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian bagi DUN tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan Haslihelmy.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).