Tangki air uzur ibarat bom jangka

Keadaan tangki air yang berkarat, berlubang kerana hakisan dan berlaku kerosakan lain termasuk kebocoran pada tangki meresahkan penduduk.
Keadaan tangki air yang berkarat, berlubang kerana hakisan dan berlaku kerosakan lain termasuk kebocoran pada tangki meresahkan penduduk.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 2,500 penduduk Pangsapuri Blok 1 & 3 Taman Bukit Cheras di sini hidup dalam gelisah ekoran tangki air di kedua-dua bangunan kediaman itu sudah ibarat bom jangka yang boleh mengancam nyawa mereka.

Berkarat, berlubang kerana hakisan dan berlaku kerosakan lain termasuk kebocoran pada tangki mengandungi bekalan air untuk penduduk itu.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan (MC) Pangsapuri Blok 1 & 3 Taman Bukit Cheras, Poon Yoke Teng, berkata, masalah itu telah dikenal pasti sejak kira-kira 5 tahun lalu dan sejak itu pihaknya sudah berusaha mendapatkan perhatian kerajaan untuk membantu mendapatkan tangki air yang baharu.

Menurutnya, MC tidak mampu untuk menanggung kos penggantian tangki-tangki berkenaan kerana terlalu besar sedangkan kutipan yuran penyelenggaraan hanya cukup untuk pengurusan penyelenggaraan lain.

"Tangki bagi kedua-dua blok ini perlu diganti. Sebelum ini kami ada memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sepatutnya telah diluluskan.

Tangki air yang berkarat dan berlubang.
Tangki air yang berkarat dan berlubang.

Namun akhirnya kelulusan dipindahkan ke blok lain atas alasan kawasan kami dihuni warga asing.

"Banyak masalah lain lagi termasuk bangunan yang perlu dicat semula. Tetapi sekarang ini paling penting adalah tangki air. Ia sudah terlalu lama, kita bimbang kalau pecah akan jadi tragedi besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Staf MC, S.Kanageswaris, berkata, permohonan baharu ada dihantar selepas itu dan terdapat pemeriksaan tangki air dibuat sebanyak tiga kali tahun lalu.

Kanageswari menunjukkan surat maklum balas DBKL pada Februari lalu menyatakan permohonan mereka tidak dapat dipertimbangkan.
Kanageswari menunjukkan surat maklum balas DBKL pada Februari lalu menyatakan permohonan mereka tidak dapat dipertimbangkan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya menerima maklum balas pada Februari lalu daripada DBKL menyatakan permohonan mempercepatkan kelulusan pertukaran tangki air tidak dapat dipertimbangkan.

"Bulan lalu, kami menghantar permohonan baharu melalui pejabat wakil rakyat. Namun tiada sebarang perkembangan diterima sedangkan penduduk terus diselubungi ketakutan," katanya.

Penduduk, Noor Anim Badli, 53, berkata, keadaan tangki air yang sudah uzur itu boleh mengundang tragedi besar sekiranya tidak diganti.

"Kita bimbang sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, ketika itu sudah terlambat untuk menyelamatkan keadaan.

"Takkan nak tunggu sehingga berlaku bencana, libatkan kematian baru ganti?.

"Kami penduduk mejoriti adalah rakyat Malaysia sepatutnya masalah ini diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Penduduk terus dilanda kebimbangan dengan keadaan tangki air yang semakin teruk.
Penduduk terus dilanda kebimbangan dengan keadaan tangki air yang semakin teruk.

Bagi Heen Hee Yim, 63, tangki air berkenaan sepatutnya sudah ditukar kerana kediaman itu sudah berusia 30 tahun.

"Tangki pun sudah berkarat. Kualiti air yang penduduk gunakan juga terjejas," katanya.