Selesai secara komprehensif isu keselamatan makanan - Shafie Apdal

Mohd Shafie dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap kerajaan mempunyai penyelesaian yang komprehensif berhubung isu keselamatan makanan yang turut melanda negara ketika ini.

Ahli Parlimen Semporna itu juga berharap supaya pimpinan negara memahami keresahan rakyat ketika ini pada sesi pembentangan belanjawan pada 13 Oktober depan.

"Seperti saya nyatakan, berkenaan keselamatan makanan ini bukan hanya tentang harga tetapi juga bekalan produk makanan seperti beras, daging dan sebagainya.

"Kerajaan harus mempunyai perancangan yang komprehensif. Perkara ini sudah lama ada tetapi malangnya ia tidak dapat dilaksanakan.

"Contohnya di Kota Belud berapa ratus juta ringgit telah diberikan tetapi kesudahannya tidak ada tentang tanam padi, spesies padi, jelapang padi, bagaimana padi boleh ditanam tiga kali setahun dan sehingga kini tidak dapat direalisasikan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika pemerintahan Warisan sebelum ini pihaknya telah pun mengenal pasti tanah yang sesuai untuk dijadikan tanaman padi sama ada padi sawah atau padi bukit.

"Saya masih ingat semasa Warisan jadi kerajaan kita kenal pasti 4,046 hektar di Terusan Sapi (Beluran) tanah yang boleh dan sesuai untuk tanaman padi. Di samping itu kita juga menggalakkan tanaman padi bukit dan kita sediakan RM5 juta untuk menggalakkan (petani) kawasan di Keningau, Long Pasia yang sesuai untuk penanaman padi bukit.

"Jadi apabila kita boleh bekalkan padi, kita boleh kawal harga beras," katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa perlunya penyelesaian komprehensif walaupun keadaan kewangan negara terbatas ketika ini.

Artikel Berkaitan: