Isu kotak makanan: Tak wajar hukum semua ADUN - Mohd Akmal

Mohd Akmal (kiri) bersama ADUN Manjoi, Hafez Sabri (kanan) mengadakan pertemuan dengan Saarani ketika Sidang DUN Perak minggu lalu berhubung isu kotak makanan Yayasan Perak.
Mohd Akmal (kiri) bersama ADUN Manjoi, Hafez Sabri (kanan) mengadakan pertemuan dengan Saarani ketika Sidang DUN Perak minggu lalu berhubung isu kotak makanan Yayasan Perak.
A
A
A

IPOH - Keputusan Yayasan Perak untuk tidak menyalurkan bantuan kotak makanan melalui semua pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana tindakan segelintir pihak yang membuat pembungkusan semula dan menampal pelekat tertera logo parti politik disifatkan tidak wajar.

ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin berkata, tindakan tersebut juga dilihat tidak adil kepada ADUN-ADUN yang tidak pernah mengubah rupa kotak makanan berkenaan kerana pusat khidmat ADUN menjadi tempat rakyat mengadu masalah.

Menurutnya, pihak Yayasan Perak harus membuat teguran dahulu kepada mana-mana ADUN yang tidak mematuhi arahan mengenai pengagihan kotak makanan tersebut.

"Pada saya tidak adil untuk menghukum semua pusat khidmat jika benar ada pihak yang dikatakan menampal pelekat parti atau membungkus semula kotak makanan seperti didakwa menerusi gambar yang tular.

"Sepatutnya berilah amaran dahulu dan jika degil barulah ambil tindakan kepada pusat khidmat yang terlibat, bukan terus henti salur melalui pusat khidmat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun Mohd Akmal berkata, pihaknya tetap akur dengan keputusan yang diputuskan oleh Yayasan Perak walaupun perkara tersebut telah dibincangkan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.

Menurutnya, pengagihan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibimbangi tidak menyeluruh kerana pusat khidmat ADUN mempunyai senarai penerima yang layak daripada pelbagai latar belakang.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak berharap keputusan itu dikaji semula dan peluang diberikan kepada semua ADUN supaya tidak melakukan kesalahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Yayasan Perak menjelaskan pihaknya tidak akan menyalurkan bantuan kotak makanan melalui pusat khidmat ADUN selepas menerima aduan terdapat pihak tertentuk yang membungkus semula serta menampal pelekat tertera logo parti politik.

Pengurus Pentadbiran Yayasan Perak, Mohamad Hidayat Abd Halim berkata, mulai Oktober pihaknya akan mengagihkan terus kotak makanan berkenaan kepada rakyat yang memerlukan dengan bantuan NGO.