Mangsa gempa bumi bina harapan di Malaysia

Rozi (dua kanan), Mas Imran (tiga kiri) dan Hashim (tengah) menyerahkan Al-quran dan sumbangan bahan makanan di Masjid Jami'Fathurrahman, Desa Pengadangan, Kecamatan Pringgasela, Lombok Timor, Lombok, Indonesia pada Jumaat.

A
A
A

LOMBOK - Malaysia menjadi tempat untuk membina harapan dan masa depan penduduk Desa Pengadangan, di Lombok Timor dekat sini selepas kediaman mereka musnah hampir 90 peratus akibat gempa bumi dan tsunami kecil pada 2018.

Kepala Desa Pengadangan, Iskandar Sukarma, 45, berkata, ini kerana hampir majoriti penduduknya bekerja di Malaysia untuk mencari rezeki dan mengumpul wang selepas bencana alam itu melanda.

"Gempa bumi tersebut mengakibatkan lima cedera dan 500 buah rumah di desa ini musnah serta harta benda rosak. Bagi meneruskan hidup dan mengumpul wang untuk membina rumah baharu, ribuan penduduk mencari kerja di Malaysia.

"Mereka bekerja dalam dua hingga tiga tahun sebelum pulang ke Lombok untuk membina rumah baharu," katanya ditemui pemberita selepas majlis ringkas penyerahan al-Quran serta bahan makanan sumbangan MyCARE dan Econsave di Masjid Jami'Fathurrahman, Desa Pengadangan, Kecamatan Pringgasela, Lombok Timor, dekat sini pada Jumaat.

Turut hadir, Presiden Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Johor, Rozi Abd Ghani; Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam; Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang dan Presiden Kelab Majestic Motor Group (MG), Zulkarnain Ishak.

Rozi, Mas Imran (tengah) dan Hashim (berdiri kanan) selepas menyerahkan sumbangan dan al-Quran kepada pelajar tahfiz di Taman Pendidikan Al-Quran Al-Batsa , Dusun Batu Santek, Desa Pengadangan, Lombok Timor, Lombok, Indonesia pada Jumaat.

Mereka turut disertai ahli-ahli Kelab Majestic MG selain disertai wartawan dan jurugambar Sinar Harian, TV Al Hijrah, Harian Metro serta Utusan Malaysia.

Seramai 17 terlibat dalam Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok di Lombok, Indonesia dari 27 sehingga 30 September ini.

Artikel Berkaitan:

Iskandar berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak MyCARE dan Econsave yang membantu mereka sejak peristiwa tersebut dengan membina rumah sementara selepas kediaman penduduk roboh sekali gus hilang tempat tinggal.

Sementara itu, Rozi berkata, sejurus bencana berlaku, MyCARE yang bekerjasama dengan Econsave melancarkan beberapa projek bagi membantu penduduk desa tersebut dan di wilayah Lombok yang terkesan dengan bencana alam berkenaan.

"Antara projek yang dimaksudkan ialah bantuan bungkusan makanan; projek air bersih; membina rumah sementara atau dipanggil rumah senyum; bantuan pendidikan; membina perigi; membina masjid-masjid dan membantu rumah anak-anak orang kurang upaya," katanya.

Rozi (tiga dari kanan), Mas Imran (tengah) dan Hashim (kiri) menyerahkan sumbangan dan al-Quran kepada pelajar tahfiz di Taman Pendidikan Al-Quran Al-Batsa , Dusun Batu Santek, Desa Pengadangan, Lombok Timor, Lombok, Indonesia pada Jumaat.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya berharap usaha membantu Sekolah Yayasan Dewasa Pelita Harapan di Mataram dekat sini yang rosak akibat dilanda gempa bumi akan dapat direalisasikan segera.

"Sebelum ini kita sudah membantu sekolah pelajar yang cacat penglihatan ini dengan membelikan sebuah van untuk kegunaan mereka untuk melakukan aktiviti di luar sekolah berkenaan," ujar beliau.

Ditanya berkenaan misi kemanusiaan Lombok yang masuk kali keempat, beliau menyifatkannya sebagai amat berjaya dan berpuas hati apabila projek-projek bantuan yang dilancarkan sebelum ini berjalan lancar.