Kutipan tol di Plaza Tol Alam Damai bermula tengah malam ini

Kutipan tol di Plaza Tol Alam Damai akan bermula pada jam 12.01 tengah malam Jumaat. - Foto Bernama
Kutipan tol di Plaza Tol Alam Damai akan bermula pada jam 12.01 tengah malam Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kutipan tol di Plaza Tol Alam Damai akan bermula pada jam 12.01 tengah malam ini setelah dua minggu dikecualikan bayaran.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam kenyataan memaklumkan, sebelum ini sempena pembukaan fasa dua Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), pengguna telah menikmati tol percuma bermula 16 hingga 29 Jun 2023.

Justeru, bermula tengah malam ini, kadar bayaran tol di Plaza Tol Alam Damai adalah sama seperti dilaksanakan di dua lagi plaza tol Lebuhraya SUKE iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang.

Kadar bayaran tol bagi kelas kenderaan satu iaitu kereta dicaj RM2.30, lori iaitu kelas dua (RM4.60), treler iaitu kelas tiga (RM6.90), kelas empat iaitu kereta jenis teksi (RM1.20) dan bas iaitu kelas lima dicaj RM2.30.

“Kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch 'n Go dan SmartTAG serta Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Sehubungan itu, pengguna disarankan untuk memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-dompet mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya SUKE,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 15 Jun lalu, media melaporkan, Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pengguna Lebuhraya SUKE fasa dua yang melalui Plaza Tol Alam Damai boleh menikmati perjalanan tanpa bayaran tol bermula 12.01 tengah malam pada 16 Jun sehingga 29 Jun.