Bayaran tol secara terbuka di 25 lorong Lebuhraya MEX

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) telah diperluaskan kepada 25 lorong di semua plaza tolnya, berbanding hanya enam ketika tempoh ujian sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Halimi Ibrahim berkata, tambahan itu bertujuan untuk memberi pilihan kaedah pembayaran tol yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya, di samping meningkatkan lagi kelancaran aliran trafik di plaza tol.

Menurutnya, langkah proaktif meletakkan servis kemudahan SPT di 25 lorong TNG bukan sahaja untuk memudahkan pengguna lebuh raya untuk mendapatkan akses kepada servis SPT, tetapi ia satu langkah penyelesaian bagi mengelakkan kenderaan tersangkut di plaza tol sekiranya terlupa menambah nilai kad Touch 'n Go atau aplikasi eWallet.

"Menerusi pemantauan operasi tol yang dijalankan pihak MEX, kita mendapati bahawa terdapat peningkatan positif terhadap jumlah penggunaan SPT di ketiga-tiga plaza tol di Lebuhraya MEX.

"Ini membuktikan bahawa pengguna menerima baik pelaksanaan sistem ini dan semakin selesa untuk menggunakan SPT sebagai alternatif pembayaran tol.

"Selain itu, pihak MEX ada menempatkan petugas di lorong tol yang boleh memberi panduan kepada pengguna lebuh raya sekiranya perlu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah melancarkan SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), di sini.

Menerusi SPT, pengguna boleh membayar menggunakan kad debit dan kredit di 11 lebuh raya di Lembah Klang dan Pulau Pinang, sekaligus memberi alternatif baharu kepada kaedah pembayaran tol sedia ada menggunakan kad Touch 'n Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID).

Artikel Berkaitan:

Tambah Halimi, bagi memastikan kelancaran penggunaan SPT di Lebuhraya MEX, pengguna disarankan agar sentiasa memastikan bahawa baki kad debit atau kredit mencukupi sebelum digunakan untuk transaksi.

"Pengguna juga perlu menyentuh keseluruhan permukaan kad debit atau kredit pada terminal SPT bagi memastikan sistem dapat mengesan kad dengan baik.

"Mereka juga kena mengaktifkan ciri-ciri 'paywave' dan memastikan status kad bank adalah aktif," jelasnya.