Kuih bulan halal dapat permintaan masyarakat Tionghua

Usahawan Nur Farrah Diba Azhar, 33, menunjukkan kuih bulan yang dihasilkan sempena sambutan Pesta Tanglung di kedainya di Bandar Perda di sini. - Foto Bernama
Usahawan Nur Farrah Diba Azhar, 33, menunjukkan kuih bulan yang dihasilkan sempena sambutan Pesta Tanglung di kedainya di Bandar Perda di sini. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Perayaan Kuih Bulan yang disambut pada setiap bulan kelapan dalam kalendar Cina iaitu pada akhir Ogos hingga akhir September, lazimnya memberi limpahan rezeki kepada pengusaha kuih tradisional berkenaan.

Turut menerima tempias seorang pengusaha biskut dan kuih-muih Melayu, Nur Farrah Diba Azhar, 33, yang tidak ketinggalan menghasilkan kuih bulan menggunakan resipi asli yang dipelajari daripada mendiang datuknya.

Kebolehan Nur Farrah Diba menghasilkan kuih bulan mengikut resipi tradisional itu bukan sahaja mendapat perhatian daripada pelanggan dalam kalangan masyarakat Cina, malah beliau sering mendapat tempahan daripada pelanggan Melayu kerana ia halal.

Farrah yang menjual pelbagai jenis biskut dan kuih muih tradisi turut menerima tempias apabila produk kuih bulannya bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat Cina malah India dan Melayu. - Foto Bernama
Farrah yang menjual pelbagai jenis biskut dan kuih muih tradisi turut menerima tempias apabila produk kuih bulannya bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat Cina malah India dan Melayu. - Foto Bernama

Beliau berkata, kuih bulan tersebut dihasilkan sepanjang tahun, tetapi jumlahnya akan meningkat berkali-kali ganda apabila tiba Perayaan Kuih Bulan dan Pesta Tanglung dengan lebih banyak perisa akan dikeluarkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya mula terlibat secara serius dalam perniagaan ini sejak 2016 selepas lebih setahun belajar membuat kuih bakul daripada mendiang datuk saya, Teh Naik Ming iaitu ayah kepada ibu saya yang meninggal dunia pada 2015.

Pada tahun-tahun akhir kehidupan datuk yang memang berasal dari China, beliau bersungguh-sungguh turunkan ilmu untuk buat kuih bulan dan saya akhirnya berjaya menghasilnya bukan sahaja menggunakan resipi tradisional masyarakat Tionghua malah halal,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Kuih bulan dihasilkan mempunyai pelbagai inti antaranya kacang walnut, pandan, kacang merah, buah teratai red velvet, telur masin kuning dan pelbagai lagi. - Foto Bernama
Kuih bulan dihasilkan mempunyai pelbagai inti antaranya kacang walnut, pandan, kacang merah, buah teratai red velvet, telur masin kuning dan pelbagai lagi. - Foto Bernama

Nur Farra Diba berkata, meskipun kuih bulan merupakan manisan tradisional kaum Cina, tetapi kini ia sudah tiada asing dalam kalangan kaum lain termasuk Melayu kerana ia dibuat dengan bahan yang halal.

Malah, katanya, beliau sering mendapat tempahan daripada masyarakat Cina terutama pada September untuk diberikan sebagai cenderahati kepada orang Melayu kerana tahu produk yang beliau hasilkan adalah halal.

"Sepanjang tahun saya hasilkan kuih bulan dengan pelbagai inti antaranya kacang walnut, pandan, kacang merah, buah teratai, red velvet, telur kuning masin dan pelbagai lagi, namun paling banyak tempahan pada September ialah kacang teratai dan telur kuning masin.

"Mereka (masyarakat Cina) sekarang ini bukan sahaja beli untuk makan sendiri, malah ramai yang beli untuk diberikan kepada rakan-rakan atau jiran yang berlainan bangsa sebab itu pilih yang halal, lagipun harga kuih bulan saya amat berpatutan iaitu antara RM5 dan RM12," katanya.

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun itu berkata, ketika ini beliau dibantu empat pekerja bagi menghasilkan kuih bulan di kedainya di Bandar Perda, di sini dengan jualan turut dibuat menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan TikTok.

Katanya, beliau berpuas hati dapat menghasilkan kuih bulan halal kerana memberi peluang kepada orang Islam untuk menikmatinya tanpa was-was, malah syarikatnya turut menjual pelbagai jenis inti kuih bulan untuk pengusaha kuih bulan lain.

"Sepanjang sambutan Pesta Tanglung tahun lepas syarikat saya menerima tempahan kira-kira 8,000 biji kuih bulan, tetapi pada tahun ini jualan sedikit perlahan dan saya terpaksa menggandakan jualan menerusi laman sosial,” katanya.

Kuih bulan yang dihasilkan dijual dengan harga RM5 hingga RM12 sebiji mengikut saiz. - Foto Bernama
Kuih bulan yang dihasilkan dijual dengan harga RM5 hingga RM12 sebiji mengikut saiz. - Foto Bernama

Menurut Nur Farra Diba, perniagaan itu turut mendapat sokongan daripada suami serta empat adiknya walaupun masing-masing mempunyai kerjaya sendiri dan mereka akan bantu apabila tempahan terlalu banyak.

"Adik-adik tidak begitu pakar membuat kuih bulan kerana mereka tidak belajar daripada datuk, tetapi saya bertekad untuk turunkan ilmu serta resipi ini kepada mereka suatu hari nanti supaya dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut bercita-cita untuk mempunyai kilang sendiri bagi menghasilkan kuih bulan dan pelbagai jenis kuih serta biskut dalam tempoh lima tahun akan datang. - Bernama