Perayaan Kuih Bulan Octagon masuk kalendar pelancongan Perak

Kor Ming (dua dari kiri) menyertai perarakan tanglung sempena Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon dan Majlis Pembukaan Pesta Makanan Jalanan Paloh di Ipoh pada Sabtu
Kor Ming (dua dari kiri) menyertai perarakan tanglung sempena Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon dan Majlis Pembukaan Pesta Makanan Jalanan Paloh di Ipoh pada Sabtu
A
A
A

IPOH - Perayaan Kuih Bulan Octagon akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Negeri Perak bermula tahun depan, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, perayaan yang disambut setiap akhir bulan Ogos hingga September itu dilihat mampu menjadi tarikan kebudayaan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

"Saya akan cadangkan kepada kerajaan negeri supaya pesta ini disenaraikan dalam kalendar rasmi sempena Tahun Melawat Perak 2024.

"Apabila kita bertapak di persada antarabangsa dan pentas dunia, kepelbagaian kebudayan yang kita ada ini yang memberikan kita kelebihan dan kita harus hargai sebagai warisan bangsa Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon dan Majlis Pembukaan Pesta Makanan Jalanan Paloh dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCCI), Datuk Liew Chee Ming.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, bandar Ipoh yang sedang menerima kerancakan pembangunan merupakan bandar istimewa apabila memberikan tumpuan terhadap semua bangsa.

Katanya, Gerbang Malam di Jalan Dato Tahwil Azar telah menjadi ikonik kepada masyarakat Melayu, begitu juga Little India di Jalan Ipoh yang menjadi tumpuan terutama masyarakat India.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kita ada Paloh Street di Jalan Theatre dan Jalan Mustapha Al-Bakri yang mewakili masyarakat Cina pula.

"Apabila Melayu, Cina dan India bersatu, kita kuat bersama. Perpaduan dalam kebudayaan ini wajib dipupuk bersama kerana kita mahu membawa politik baharu yang menyatukan, bukan memecahkan masyarakat berbilang kaum," katanya.

Perayaan Kuih Bulan merupakan satu perayaan terpenting selain Hari Tahun Baru Cina disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan, selain dengan kuih bulan itu sendiri.

Sementara itu, Rumaizi dalam ucapannya berharap, lebih banyak persatuan dan syarikat swasta tampil ke hadapan sebagai pemain industri pelancongan.

"Sektor pelancongan bukan hanya berfokus kepada aktiviti sedia ada, tetapi kita mahu wujudkan aliran-aliran baru antaranya sektor kesihatan, perhotelan dan pengangkutan yang memerlukan lebih banyak penglibatan swasta bekerjasama sebagai pelaksana," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!