Status OKU tak halang Zamzuri sebar syiar Islam

Al-Sultan Abdullah (enam dari kiri) berkenan bergambar bersama para penerima Anugerah Maulidur Rasul pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H yang bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani pada Khamis. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah (enam dari kiri) berkenan bergambar bersama para penerima Anugerah Maulidur Rasul pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H yang bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Biarpun mengalami kurang upaya penglihatan, ia tidak menghalang usaha Zamzuri Ghani menyebarkan syiar Islam dengan menggunakan kepakarannya dalam Braille sehingga dinamakan antara penerima anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berusia 48 tahun itu aktif dalam penerbitan dan pengedaran al-Quran Braille dan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Braille selain menganjurkan kelas-kelas pengajian al-Quran braille serta fardu ain.

Beliau yang juga Pengurus Operasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis) turut terlibat dalam mewujudkan 58 bahan bacaan Islamik kepada OKU penglihatan serta menyediakan buku-buku teks di bawah Kementerian Pendidikan yang menjadi rujukan pelajar OKU penglihatan.

Zamzuri dikurniakan anugerah berkenaan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Khamis.

Zamzuri ketika ditemui pemberita berkata, beliau tidak menyangka menerima anugerah yang begitu besar dan menganggapnya sebagai pengiktirafan untuk golongan OKU dan Pertis.

"Kalau kira memang sumbangan saya tidak besar tetapi Alhamdulillah... kejayaan ini membuktikan peri pentingnya golongan OKU dalam menyebarkan syiar Islam,” katanya.

Bapa kepada lima anak berusia setahun hingga 12 tahun itu berkata, beliau aktif membantu OKU penglihatan mengenai Islam dan membaca al-Quran melalui Pertis sejak 2001.

"Pengajaran al-Quran menggunakan Braille amat membantu terutama OKU penglihatan berusia 18 tahun untuk menghafal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lima lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW ialah Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa, Datuk Kamarudin Abdullah dan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (1994-2000), Datuk Misnu Taha.

Penerima lain ialah aktivis kebajikan haiwan, Datuk Dr Mhd Nordin Mohd Nor, Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan bekas penjawat awam, Shaariah Dahman.

Sementara itu, Profesor Datuk Dr Syed Othman Syed Husin yang diumumkan penerima Anugerah Perdana berkata, anugerah diterimanya itu akan menjadi pemangkin untuk beliau lebih aktif menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat.

"Saya sebenarnya tidak terfikir diberikan anugerah ini, ia adalah anugerah daripada Allah SWT dan saya akan berikan perkhidmatan baik kepada masyarakat,” kata bekas pemangku Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1987 hingga 1990.

Majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani itu diserikan dengan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof. - Bernama