Tuanku Muhriz titah umat Islam cari titik persamaan, kurang jurang perbezaan

Tuanku Muhriz (depan, empat dari kanan) dan Tuanku Aishah (depan, tiga dari kanan) berarak sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz (depan, empat dari kanan) dan Tuanku Aishah (depan, tiga dari kanan) berarak sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan umat Islam supaya mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan bagi menjadi umat yang berkualiti.

Baginda bertitah, antara matlamat Rasulullah SAW adalah untuk menyatukan umat daripada pelbagai kaum dan bangsa agar semuanya kembali kepada Tuhan Yang Maha Esa dengan penuh hikmah dan rahmah.

"Rasulullah SAW menyampaikan risalah dakwah sehingga akhirnya wujud perpaduan yang mapan.

"Rasulullah SAW juga telah menjadikan tali persahabatan dan persaudaraan sejak mula menegakkan negara Islam Madinah sehingga termeterainya Piagam Madinah," titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini, pada Khamis.

Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin.

Turut hadir, Undang Yang Empat dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Justeru baginda bertitah, semua pemimpin dan rakyat di Negeri Sembilan perlu terus menyemai benih perpaduan dan memperkukuhkannya sehingga perasaan saling menghormati antara satu sama lain kekal utuh.

Jelas baginda, itu merupakan contoh teladan terbaik yang perlu digarap oleh semua lapisan masyarakat, khususnya para pemimpin.

Artikel Berkaitan:

"Beta percaya Menteri Besar serta seluruh jentera pentadbiran kerajaan beta akan dapat terus memastikan kemajuan dan pembangunan negeri ini sentiasa berada di landasan yang tepat.

"Beta juga mengingatkan bahawa semua pihak berkepentingan perlu akur dengan kedudukan Islam sebagai agama negara dan mempunyai martabat tertinggi serta istimewa, tanpa menafikan keadilan terhadap golongan lain," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah, sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang diterima sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW.

Titah baginda lagi, memahami dan meneladani Rasulullah SAW merupakan suatu kewajipan bagi semua umat Islam.

"Sehubungan itu, kita dituntut untuk terus menimba ilmu bagi mencapai hasrat ini dan golongan muda khususnya bukan sekadar perlu berusaha meningkatkan pengetahuan, malah setiap pelajaran yang diperoleh perlu diamalkan dalam kehidupan seharian sesuai dengan keadaan semasa.

"Wacana berkaitan prinsip ilmu tidak boleh dibiarkan dalam nota pelajaran semata-mata, tetapi hendaklah diaplikasikan sewajarnya bagi melindungi diri daripada perkara yang tidak baik," titah baginda.

Tambah Tuanku Muhriz, penzahiran rasa kesyukuran atas pengutusan Rasulullah SAW sebagai penyebar risalah Islam di dunia ini perlulah dibuktikan dengan adanya rasa tanggungjawab dalam mempertahankan syiar agama, memelihara akidah dan iman serta mengamalkan akhlak terpuji seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Sementara itu, sambutan Maulidur Rasul kali ini dimeriahkan dengan perarakan 76 kontinjen yang disertai kira-kira 4,500 peserta daripada agensi kerajaan, swasta, institut pengajian tinggi awam dan swasta serta sekolah.