Tubuh seperti kanak-kanak tak halang gadis 16 tahun ke sekolah

Siti Nur Najwa (tengah) bersama rakan-rakannya di SK Beluru.
Siti Nur Najwa (tengah) bersama rakan-rakannya di SK Beluru.
A
A
A

TUMPAT - Bertubuh kecil seperti kanak-kanak lima tahun pada usia yang sudah remaja bukan halangan buat seorang pelajar perempuan untuk menuntut ilmu di Sekolah Komprehensif Sembilan (K9) Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di sini.

Siti Nur Najwa Zulkifli, 16, hanya mempunyai ketinggian kira-kira 90 sentimeter dengan berat badan 15 kilogram.

Dia terlihat sangat kecil ketika berada di dalam kelasnya dan di aras paras pinggang kebanyakan rakan sebaya, jika berdiri.

Ibunya, Siti Rasidah Mamat, 46, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu menghidap sakit tulang rapuh selain kekurangan kalsium menyebabkan tumbesaran fizikal terbantut.

Menurutnya, Siti Nur Najwa juga tidak lancar bertutur dan berdepan masalah pendengaran sebelah telinga kanan.

Siti Nur Najwa
Siti Nur Najwa

“Masa dia tak boleh berjalan dulu amat payah kerana saya dan bapanya akan mendukung dia seperti anak kecil untuk ke mana-mana.

“Baru beberapa tahun ini dia dapat berjalan, namun akan cepat berasa sakit, lenguh kaki dan paha kalau duduk atau berdiri terlalu lama,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Pulau Beluru sini pada Jumaat.

Siti Rasidah berkata, Siti Nur Najwa menunjukkan minat belajar sejak kecil apabila kerap kali meminta untuk dibelikan buku bagi membolehkan dia membaca atau menulis.

“Dia mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Pulau Beluru dan dilengkapi dengan meja atau kerusi khas bersesuaian dengan fizikalnya.

“Keperluan itu disediakan oleh guru-guru termasuk uniform bersaiz kecil ini juga,” ujarnya.

Ketinggian Siti Nur Najwa (kanan) di paras pinggang rakan sebaya.
Ketinggian Siti Nur Najwa (kanan) di paras pinggang rakan sebaya.

Siti Rasidah tidak bekerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada Siti Nur Najwa dengan menemani anak perempuannya itu setiap kali sesi persekolahan, sementara suaminya, Zulkifli Mustafa, 43, bekerja sebagai buruh kasar.

“Penyakit Siti Nur Najwa ini menyebabkan tulang belakang, tangan, betis dan pahanya bengkok. Dia memang memerlukan bantuan untuk bergerak.

“Dalam keadaan ini, saya tidak pernah jemu untuk menjaganya termasuk membawanya menaiki bot menyeberangi sungai ke tanah besar bagi mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia pada setiap bulan supaya dia sihat dan dapat belajar dengan baik,” kata wanita itu.