Falsafah Madani tidak mampan jika tidak diiringi ihsan - Anwar

Anwar berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ICT Huawei Malaysia 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ICT Huawei Malaysia 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Falsafah Madani tidak boleh menjadi mampan sekiranya Malaysia hanya melihat semata-mata dari segi perubahan atau transformasi teknologi tanpa diiringi dengan prihatin dan ihsan untuk memastikan setiap rakyat di negara ini diberikan akses kepada kesalinghubungan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia bukan hanya soal teknologi tetapi untuk memastikan setiap rakyat daripada setinggan bandar atau miskin bandar hingga ke kawasan terpencil di Sabah atau Sarawak diberi peluang dan akses kepada kesalinghubungan.

"Jika tidak, pada fikiran saya, ia tidak mampan,” katanya pada ucapan penutup Sidang Kemuncak Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Malaysia 2023 anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd hari ini.

Anwar menegaskan bahawa kemampanan bukan untuk memanfaatkan segelintir orang, golongan elit bandar atau konco kerajaan tetapi untuk memberi manfaat kepada semua rakyat di negara ini.