Subsidi bersasar bela rakyat, perkukuh ekonomi negara

A
A
A

No Image Caption

BANYAK negara mempunyai program perlindungan sosial untuk meringankan beban rakyat, terutama kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana. Antara contoh program perlindungan sosial ialah pemberian tunai, penetapan harga siling barangan keperluan serta subsidi minyak, elektrik, kesihatan dan pendidikan.

Di Malaysia, subsidi telah menjadi sebahagian daripada ekonomi negara sejak berpuluh tahun sehingga rakyat sentiasa berharap kerajaan terus menyediakannya. Ini kerana rakyat terlalu biasa dengan perkhidmatan dan barangan bersubsidi seolah-olah ia menjadi hak mereka yang tidak boleh dipisahkan.

Berikutan usaha kerajaan untuk membetulkan kedudukan kewangan negara dengan mengimbangi hasil dan perbelanjaan, timbul gesaan agar sistem subsidi yang diamalkan sekarang diubah.

Salah satu cadangan pembaharuan utama ialah menggantikan mekanisme subsidi pukal yang memberi manfaat kepada semua, termasuk golongan berpendapatan tinggi kepada satu kaedah lebih fokus kepada keperluan golongan yang memerlukan bantuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membayangkan perubahan ini ketika membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12. Butiran lanjut dijangka diumumkan ketika pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober depan.

Bagi memberi kefahaman lebih mendalam mengenai isu ini, Profesor Ekonomi dan Pengarah Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah Asia Tenggara di Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng, yang juga anggota Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan (ACFIN), menjelaskannya dalam bentuk soalan dan jawapan.

1. Sebesar manakah perbelanjaan subsidi pada 2022 dan apakah unjuran bagi 2023?

Kerajaan telah lama memberi subsidi kepada barangan dan perkhidmatan asas bagi mengurangkan beban rakyat. Antaranya ialah subsidi beras, tepung, minyak masak, ayam dan telur, elektrik, petrol, diesel, gas memasak, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Bagaimanapun, subsidi tidak menjadikan kos barangan lebih murah. Apa yang berlaku ialah pengguna hanya membayar sebahagian kecil daripada kos membeli barangan terbabit, manakala selebihnya ditanggung kerajaan.

Bahagian ditanggung kerajaan itulah yang disebut sebagai subsidi. Di sinilah masalahnya. Selepas bertahun, kos tanggungan subsidi, termasuk bantuan sosial, semakin meningkat. Pada 2008, kos subsidi berjumlah RM35.2 bilion. Pada tahun 2022, ia meningkat kepada RM67.4 bilion, peningkatan hampir dua kali ganda.

Jumlah subsidi pada 2022 menyumbang hampir 4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia – iaitu jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan, dan merupakan hampir 23 peratus daripada perbelanjaan mengurus kerajaan.

Dalam kata lain, hampir satu perempat perbelanjaan mengurus kerajaan digunakan untuk memberi subsidi, bukannya kepada perkara yang mungkin lebih produktif untuk negara. Dari sudut lain, hampir satu-pertiga daripada jumlah hasil kerajaan pada 2022 yang berjumlah RM234 bilion digunakan untuk subsidi. Ini bermakna, bagi setiap ringgit yang dikutip kerajaan, 30 sen disalurkan kepada subsidi.

Perbelanjaan subsidi yang diunjurkan Kerajaan untuk 2023 adalah sebanyak RM58.6 billion. Walaupun lebih rendah berbanding peruntukan 2022, jumlahnya masih besar dan tidak seharusnya kekal begitu.

2. Kenapa kerajaan tidak boleh teruskan apa yang sudah dilakukan sejak bertahun-tahun ini dan mengapa ia tidak lagi mampan?

Kita perlu lihat secara jujur kedudukan kewangan negara sekarang. Hakikatnya, Malaysia berbelanja melebihi pendapatan sejak 1970 kecuali lima tahun. Selama 48 tahun kewangan negara di tahap defisit. Mengamalkan belanjawan defisit bermakna kerajaan terpaksa meminjam.

Sehingga akhir 2022, jumlah keseluruhan hutang kerajaan ialah RM1.08 trilion. Ini tidak termasuk jaminan kerajaan ke atas sejumlah agensinya, yang jika dicampur menjadikan jumlah tanggungan keseluruhan hampir RM1.5 trilion.

Berapa besarkah RM1.5 trilion? Ia sama besarnya dengan saiz ekonomi Malaysia. Kalau dibahagi kepada 32 juta rakyat Malaysia, setiap daripada kita berhutang sebanyak RM46,875. Mempunyai hutang yang besar memang membebankan kewangan kerajaan.

Pada 2022, kos bagi membayar balik hutang kerajaan ialah RM41.3 bilion. Lebih dari itu, hampir 30 peratus bayaran kadar faedah berakhir di luar negara.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Jumlah RM41.3 bilion juga bersamaan 20 peratus hasil cukai. Dalam kata lain, bagi setiap ringgit yang kerajaan kutip, 20 sen adalah untuk membayar faedah hutang sahaja. Keadaan ini tidak produktif kerana ia tidak menjana sebarang kesan limpahan kepada ekonomi.

3. Subsidi apakah yang besar dari segi perbelanjaan kerajaan?

Kerajaan memberi subsidi kepada banyak barangan dan perkhidmatan. Beras kita yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram adalah antara terendah di Asia Tenggara. Caj pesakit luar hospital kerajaan hanya RM1.

Pendidikan rendah dan menengah pula percuma. Kursus Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di Universiti Malaya hanya perlu bayar RM14,990 untuk keseluruhan program – antara yang terendah di dunia - namun harus diingat bahawa sebahagian daripada kos ini turut disubsidi oleh kerajaan.

Malah, hampir keseluruhan bidang pendidikan diberi subsidi walaupun tidak dipanggil sedemikian. Bantuan diberi dalam bentuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Makanan Prasekolah, Skim Pinjaman Buku Teks, Bantuan Awal Persekolahan dan Biasiswa Kecil Persekutuan.

Ini hanyalah beberapa contoh. Senarai barangan dan perkhidmatan bersubsidi sebenarnya lebih panjang. Bagaimanapun, bahagian paling besar ialah subsidi bahan api dan elektrik.

Dua sektor ini menyumbang RM60.6 bilion atau lebih 90 peratus daripada jumlah perbelanjaan subsidi pada 2022. Untuk bahan api (diesel, petrol dan gas memasak) sahaja mencecah kira-kira RM50.8 bilion (77 peratus), manakala subsidi elektrik pula berjumlah RM9.8 bilion (14.8 peratus).

Apakah ertinya ini kepada rakyat? Jumlah RM60.6 bilion itu jika tidak digunakan untuk subsidi, boleh membina bersamaan 700 sekolah atau 120 hospital setahun. Bayangkan betapa besar manfaatnya kepada rakyat, terutama di luar bandar.

No Image Caption

4. Di mana silapnya mekanisme subsidi pukal yang diamalkan sekarang?

Di Malaysia, sebahagian subsidi, seperti untuk bahan api, diberikan secara menyeluruh di mana semua orang tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mendapat manfaat. Masalah subsidi pukal seperti ini ialah ia menguntungkan mereka yang paling banyak menggunakannya.

Parlimen baru-baru ini diberitahu, kumpulan T20 mendapat lebih daripada sepatutnya dalam subsidi bahan api. Mereka hanya 20 peratus daripada populasi tetapi menikmati 35 peratus subsidi bahan api.

No Image Caption

Ini kerana keluarga berada yang mempunyai dua atau tiga kenderaan, akan menggunakan lebih banyak minyak berbanding keluarga kurang mampu yang hanya memiliki sebuah motosikal.

Misalnya, dengan mengambil kira petrol RON 95 berharga RM2.05 seliter dengan kerajaan memberi subsidi RM1.50 seliter daripada kos sebenar, bermakna penunggang motosikal daripada golongan berpendapatan rendah yang menggunakan 100 liter sebulan hanya menikmati subsidi RM150.

Bagaimanapun, keluarga berada dengan dua hingga empat kereta yang menggunakan 1,000 liter sebulan menikmati subsidi RM1,500.

Jadi, siapa sebenarnya mendapat manfaat daripada subsidi ini? Siapa di antara dua pihak ini lebih layak mendapat bantuan kerajaan? Satu masalah lagi ialah isu ketirisan. Berapa kerapkah kita melihat media melaporkan kereta negara asing masuk ke Malaysia untuk mengisi petrol RON 95?

Ini kerana harga petrol di Malaysia jauh lebih murah berbanding negara jiran. Justeru, subsidi kita bukan saja tidak berkesan malah ia turut memanfaatkan warga asing. Kita juga membaca berita mengenai kes penyeludupan diesel dan gas memasak.

No Image Caption

Subsidi elektrik pun serupa. Disebabkan harga sengaja dikekalkan rendah, kita tidak berjimat menggunakannya sehingga melebihi keperluan atau membazir elektrik. Sebagai contoh, penyaman udara dibuka sepanjang hari.

Bagi firma perniagaan pula, tiada sebab bagi mereka melabur dalam peralatan cekap tenaga kerana harga elektrik murah. Namun, bagi tenaga elektrik, kerajaan sudah mula melaksanakan subsidi bersasar dengan mengenakan surcaj 10 sen setiap kWh kepada pengguna isi rumah domestik yang menggunakan lebih daripada 1,500 kWh sebulan.

5. Apakah alternatif kepada subsidi pukal bagi kumpulan yang memerlukan bantuan?

Sebenarnya banyak kaedah yang lebih berkesan untuk meringankan beban rakyat. Satu contoh yang baik ialah pemberian tunai.

Apabila subsidi pukal yang tidak produktif dihapuskan, akan berlaku penjimatan ketara dalam tabung kerajaan. Sebahagian daripadanya boleh dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pemberian tunai.

Rakyat bebas menggunakannya mengikut keperluan mereka, bukannya terhad kepada produk dan barangan terpilih yang disubsidi oleh kerajaan. Cara lain ialah melalui subsidi bersasar di mana hanya kumpulan tertentu yang benar-benar memerlukan bantuan, dibenarkan membeli pada harga subsidi. Contoh yang baik ialah diskaun pengangkutan awam bagi warga emas.

Bagaimanapun timbul masalah iaitu kita mengehadkan subsidi hanya kepada produk/perkhidmatan itu, bukannya memberi kuasa kepada rakyat berbelanja untuk keperluan mereka. Sebagai contoh, warga emas yang tidak menggunakan pengangkutan awam tidak dapat menikmati subsidi. Begitupun, kaedah ini jauh lebih baik daripada subsidi pukal.

Harus diingat, bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan berkesan, sistem dan infrastruktur sokongan perlu disediakan untuk memastikan tiada penyalahgunaan. Sistem ini pula memerlukan penyelenggaraan dan peningkatan berkala.

6. Adakah ini bermakna kerajaan akan menghapuskan semua subsidi?

Saya tidak boleh bercakap bagi pihak kerajaan, tetapi pada pendapat saya kita tidak perlu menghapuskan semua subsidi. Namun, memandangkan keadaan ekonomi semasa negara, pembaharuan subsidi perlu dilakukan segera.

Saya percaya rombakan subsidi harus tertumpu kepada barangan seperti petrol, diesel, gas memasak dan elektrik kerana ia menyumbang lebih 90 peratus daripada perbelanjaan subsidi.

Dalam kes bahan api, mungkin cara berkesan dalam menangani impak pembaharuan subsidi ialah dengan mengekalkan Mekanisme Harga Automatik (APM), yang diperkenalkan sejak 1983.

APM membantu menetapkan harga siling di pam tanpa mengira lokasi, sama ada di Tanjung Malim atau di Bangsar. Oleh itu, jika kita mahu pembaharuan dalam subsidi bahan api, APM boleh digunakan untuk penetapan harga di pam apabila berlaku ketidaktentuan harga minyak global. Ini yang dipanggil ‘apungan terurus’.

7. Sebanyak manakah penjimatan jika kita hapuskan subsidi pukal?

Bagaimana rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat manfaat daripada langkah ini? Pada 2022, kita membelanjakan enam kali lebih banyak untuk subsidi bahan api dan elektrik (RM60.6 bilion) berbanding pendidikan (RM10 bilion) dan 14 kali ganda daripada kesihatan (RM4.4 bilion).

No Image Caption

Malah, jika dicampur perbelanjaan untuk inisiatif ekonomi dan sosial, yang bukan sahaja merangkumi pendidikan dan kesihatan tetapi juga inisiatif lain seperti perkhidmatan sosial dan komuniti, pertanian dan pembangunan luar bandar serta perumahan (RM23.6 bilion), ia masih lagi kurang daripada separuh perbelanjaan untuk subsidi bahan api dan elektrik.

Sebenarnya rakyat akan mendapat lebih banyak manfaat jika subsidi bahan api dan elektrik dialihkan kepada perbelanjaan ekonomi dan sosial yang lain.

8. Tidakkah penghapusan subsidi petrol, diesel dan elektrik boleh menyebabkan inflasi dan kenaikan harga barangan lain?

Sebagai ahli ekonomi, saya tidak menafikan bahawa pembaharuan sistem subsidi akan mendorong inflasi.

Bagaimanapun, banyak cara untuk menguruskan kesan inflasi akibat pembaharuan subsidi. Satu daripadanya seperti dinyatakan tadi iaitu menggunakan mekanisme penetapan harga ‘apungan terurus’ (APM) untuk menyeragamkan harga bahan api.

Kedua, penguatkuasaan perlu dipertingkatkan. Kerajaan telah pun menetapkan harga siling bagi barangan dan perkhidmatan penting tertentu. Kita perlu memastikan harga siling ini dipatuhi.

Perlu ada cara untuk orang ramai memainkan peranan dalam perkara ini – contohnya, melaporkan kenaikan harga yang tidak realistik atau aktiviti penyeludupan dalam kes diesel dan gas memasak. Lebih penting lagi, seperti beberapa kali ditegaskan oleh Perdana Menteri, kita mesti mencari jalan untuk mengatasi sebarang kesan inflasi terutama kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Langkah ini selaras dengan kerangka Madani, terutama di bawah nilai teras Ihsan. Justeru, satu mekanisme perlu diperkenalkan bagi membolehkan golongan masyarakat yang rentan seperti kanak-kanak dan warga emas, terus dibantu melalui skim bantuan sosial lebih baik, sama ada dalam bentuk pemberian tunai secara langsung atau subsidi bila menggunakan kemudahan disediakan kerajaan.

Matlamatnya mestilah untuk meringankan beban rakyat. Lebih penting lagi ialah membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan pada masa sama menyediakan jaringan keselamatan sosial tanpa menjejaskan maruah mereka.

Akhirnya, agenda lebih besar ialah membantu rakyat memperbaiki kehidupan melalui penyediaan pelbagai peluang bagi membolehkan mereka mengoptimumkan potensi masing-masing.

*Dr Yeah Kim Leng, Anggota Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan (ACFIN)