Ideologi asing sudah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan

Isham Jalil.
Isham Jalil.
A
A
A

SHAH ALAM - Kemasukan ideologi-ideologi asing sudah lama wujud dan berlaku sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, sejak 1963 lagi bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew telah membawa ideologi Malaysian-Malaysia menyebabkan berlaku perpisahan kedua-dua negara.

“Sejak dahulu UMNO menentang komunisme, Malayan Union dan Malaysian-Malaysia kerana ingin pertahankan hak keistimewaan orang Melayu yang merupakan ideologi kita.

“Namun, tiba-tiba satu naratif kata orang yang bawa konsep itu berubah menjadi baik tetapi ia tidak boleh melawan ideologi kerana melibatkan identiti kita.

“Ideologi adalah sistem kepercayaan kita dan dibina bukan satu atau dua hari. Apabila ada ideologi baharu yang masuk, ia menjadi sukar untuk diterima oleh masyarakat,” katanya.

Wacana Sinar Harian bertajuk 'Penyebaran ideologi asing: Lunturkah semangat patriotisme?’ menampilkan (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Felo Akademi Sains Malaysia Kursi UNESCO @ UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Zahrin Aris yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wacana Sinar Harian bertajuk 'Penyebaran ideologi asing: Lunturkah semangat patriotisme?’ menampilkan (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Felo Akademi Sains Malaysia Kursi UNESCO @ UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Zahrin Aris yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau berkata demikian dalam Wacana Siri 414 bertajuk Penyebaran Ideologi Asing: Lunturkah Semangat Patriotisme? dihoskan Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Antara panel yang turut ditampilkan, Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) merangkap Penyandang Kursi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Isham berkata, dalam politik terdapat isu asas yang tidak boleh ditinggalkan iaitu mengenai perjuangan sesebuah parti seperti menentang ideologi asing.

“Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor pada 9 September lalu, 80 peratus akar umbi kita lari, namun tidak boleh menyalahkan mereka.

“Ini kerana, apabila ditanya mengenai perjuangan parti, tidak boleh beritahu sebab mahu duduk dalam kerajaan semata-mata.

“Dalam UMNO, saya tidak mahu menjadi seperti bekas Menteri Sosial Singapura, Othman Wok yang sanggup menggadai perjuangan dan ideologi hanya kerana mahu duduk dalam kerajaan.

Tambanya, beliau akan menentang sekiranya terdapat individu seperti Othman dalam parti berkenaan demi menjaga perjuangan tersebut.