Semangat patriotisme perlu untuk tepis ideologi asing

Zahrin Aris - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Zahrin Aris - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat akan mudah menepis ideologi-ideologi asing yang masuk ke negara ini jika mempunyai semangat patriotisme dalam diri.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris berkata, sifat patriotisme itu sendiri mampu memberi kesedaran terhadap seseorang individu apatah lagi ketika ini pelbagai ideologi yang wujud dan dibawa masuk melalui pelbagai platform.

“Kemasukan ideologi asing ke negara ini terbahagi kepada beberapa faktor penerimaan seperti pendidikan, kesedaran dan semangat yang dimiliki oleh rakyat.

“Kita tidak dapat mengawalnya kini kerana ia bersifat terbuka luas dengan kewujudan internet, media sosial malah menerusi filem juga.

“Saya percaya satu hari nanti penapisan filem sudah tidak relevan dan hanya beri klasifikasi kepada penonton kerana tidak mampu untuk mengawal ideologi yang masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Siri 414 bertajuk 'Penyebaran Ideologi Asing: Lunturkah Semangat Patriotisme?' dihoskan Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Wacana Sinar Harian bertajuk 'Penyebaran ideologi asing: Lunturkah semangat patriotisme?’ menampilkan (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Felo Akademi Sains Malaysia Kursi UNESCO @ UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Zahrin Aris yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wacana Sinar Harian bertajuk 'Penyebaran ideologi asing: Lunturkah semangat patriotisme?’ menampilkan (dari kiri) hos, Ismail Adnan; Felo Akademi Sains Malaysia Kursi UNESCO @ UKM, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Zahrin Aris yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Antara panel yang turut ditampilkan, Felo Akademi Sains Malaysia Kursi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Zahrin berkata, kebanyakan masyarakat tidak sedar bahawa budaya atau ideologi itu boleh diubah melalui media sama seperti kandungan kreatif.

“Sebagai contoh, siri animasi Upin Ipin telah membawa budaya kita dan ia popular di Indonesia yang menggunakan slogan dalam kartun tersebut.

“Sebenarnya kita sudah mengubah ia dalam bentuk media yang dipanggil ideologi iaitu identiti kebangsaan kita.

“Kita tidak boleh sekat media terutamanya pada masa kini yang menggunakan teknologi bebas tanpa sempadan dan boleh dicapai dengan mudah,” ujarnya.

Berhubung dengan sejarah yang difilemkan, beliau memberitahu bahawa dalam industri kreatif yang berbentuk filem, ia merupakan perkara subjektif dan fiksyen serta tidak tentu 100 peratus benar.

“Kita sendiri kena kaji sejarah untuk menentukan yang mana benar dan salah supaya tidak mudah tertipu,” katanya.